Isnin, 15 Ogos 2016 | 5:51pm

Gempa bumi 5.6 magnitud gegar utara Jepun


Gempa bumi dasar laut berukuran 5.6 magnitud menggegar pesisir pantai wilayah Fukushima, Jepun hari ini. - Foto https://www.rt.com

TOKYO: Gempa bumi dasar laut berukuran 5.6 magnitud menggegar pesisir pantai wilayah Fukushima, Jepun hari ini namun tiada kerosakan dilaporkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu tercetus pada kedalaman kira-kira 28 kilometer, sekitar jam 4 petang waktu tempatan.

Agensi Kaji Cuaca Jepun berkata, tiada ancaman tsunami dijangkakan akibat gempa itu.

Gempa bumi pada 2011 mencetuskan tsunami di wilayah itu sehingga menyebabkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi musnah. Kini, loji itu tidak lagi beroperasi.

Seorang jurucakap syarikat pengendali loji terbabit, Tokyo Electric Power berkata, tiada perubahan dalam paras radiasi di loji itu susulan gempa terbaharu itu.

Jepun berada di kawasan pertemuan empat plat tektonik dan kerap mengalami gempa kuat setiap tahun.

Namun peraturan pembangunan yang ketat dan penguatkuasaan berkesan menyebabkan tidak banyak kerosakan berlaku walaupun gempa kuat melanda.

Bagaimanapun, gempa dasar laut yang melanda pada Mac 2011 mencetuskan tsunami di kawasan pantai timur Jepun menyebabkan lebih 18,000 orang mati atau hilang.

Ia turut menyebabkan tiga reaktor nuklear cair di loji nuklear Fukushima. - AFP

Berita Harian X