Rabu, 19 November 2014 | 12:24pm

Facebook perkenal aplikasi Groups


Imej produk yang disediakan Facebook menunjukkan aplikasi baharu Groups. - Foto AP

NEW YORK: Facebook hari ini melancarkan aplikasi mudah alih percuma baharu Groups untuk meningkatkan kemudahan penggunaan bagi ciri popularnya dalam lama sosial itu iaitu, kumpulan.

Ciri Groups atau kumpulan yang sedia ada, ia membolehkan kalangan pengguna mencipta dan berinteraksi menerusi laman sosial itu berdasarkan hobi, geografi atau budaya masing-masing.

Mengikut syarikat itu, lebih 700 juta daripada 1.35 bilion pengguna Facebook, menggunakan Groups. Laman sosial itu menjadi hos kepada ratusan juta kumpulan merangkumi pelbagai topik termasuk agama, merancang percutian atau membincangkan isu hobi serta kesihatan.

Justeru, aplikasi baharu itu akan menjadikan proses mengakses Groups lebih mudah pada peranti mudah alih tanpa pengguna perlu bersusah payah membuka aplikasi Facebook dan mencari kumpulan diingini satu demi satu.

Aplikasi Groups membolehkan pengguna menguruskan kumpulan sedia ada mereka atau mencari yang baharu sama ada berdasarkan cadangan atau dengan mencari topik berbeza.

Pengguna juga boleh mewujudkan ikon khusus kumpulan mereka di skrin telefon mudah alih untuk lebih mudah diakses.

Seperti aplikasi Messenger yang mempunyai ikon sendiri, fungsi itu kini dikembangkan kepada Groups bagi membolehkan pengguna berkongsi lebih cepat dan lebih mudah dalam kumpulan yang penting bagi mereka.

Facebook Inc berusaha untuk memperluaskan kehadirannya pada peranti mudah alih pengguna dengan mewujudkan atau membeli pembangun aplikasi seperti Messenger, Paper, Instagram dan WhatsApp.

Selain itu, Facebook juga memperkenalkan 'FB Techwire' yang akan menjadi platform kepada perkongsian perbincangan teknologi daripada sumber berpengaruh.

FB Techwire bertujuan membantu pengguna dalam pencarian kandungan asal termasuk berita, analisis orang pertama serta gambar dan video untuk wartawan yang membuat liputan mengenai teknologi.

Berita Harian X