Selasa, 16 Ogos 2016 | 5:48pm
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika meraikan isteri para pemimpin negara yang terbabit dengan Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru (ICBOS) di Seri Perdana, hari ini. - Foto BERNAMA

Isteri perwakilan ICBOS lawat pusat PERMATA Pintar

BANGI: Isteri-isteri kepada perwakilan yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru (ICBOS) melawat Pusat PERMATA Pintar, di sini hari ini untuk mempelajari dengan lebih lanjut sekolah yang ditubuhkan bagi kanak-kanak berkepintaran tinggi.

Mereka yang melakukan lawatan itu antaranya Louisa Waqa, isteri kepada Presiden Nauru, Baron Waqa; Suha Fayez Abdelrahamn Abu Khalaf, isteri kepada Menteri Luar Palestin, Dr Riad Malki; dan Mabafokeng Jacinthah Au, isteri kepada Menteri Perkhidmatan Awam, Lesotho, Tsukutlane Au.

Semasa lawatan itu, mereka menyaksikan pelajar mempamerkan kepintaran dan kreativiti menerusi pelbagai program uji kaji saintifik seperti mengekstrak DNA strawberry dan reaksi jam iodin.

Turut hadir semasa lawatan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

PERMATA Pintar adalah cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung PERMATA.

Pusat berkenaan pada masa ini mengendalikan empat program utama yang termasuk Pencarian dan Pengurusan Bakat, Perkhemahan Cuti Sekolah, Program Pendidikan PERMATA Pintar dan program prauniversiti selama sebulan, ASASIpintar. - BERNAMA

Berita Harian X