Selasa, 16 Ogos 2016 | 9:00pm

5 maut dalam keganasan di Kashmir India

SRINAGAR: Pihak keselamatan menembak mati lima orang dan mencederakan 20 lain ketika tunjuk perasaan di wilayah Kashmir yang ditadbir India hari ini, menurut saksi dan sumber tentera.

Empat orang terbunuh di perkampungan Raipanthan selepas penduduk membanjiri jalanan membantah tindakan ganas anggota keselamatan ketika rondaan tengah malam bagi menguatkuasakan perintah berkurung.

Seorang penduduk berkata, seorang penunjuk perasaan maut di tempat kejadian selepas anggota Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF) melepaskan tembakan dan tiga lain maut akibat kecederaan mereka.

Tambahan 12 penunjuk perasaan dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. Identiti empat mangsa yang maut belum dikenal pasti, namun semuanya masih muda.

Seorang pegawai keselamatan mengesahkan, 'anggota peronda melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, menyebabkan empat maut'. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X