Selasa, 16 Ogos 2016 | 11:39pm

Liga Super: JDT, FELDA kekal bersaing


PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz (kanan) diasak pemain PDRM, Muhd Eskandar pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila membelasah PDRM 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Gol tuan rumah masing-masing dijaringkan Juan Martin Lucero pada minit keenam dan 85 manakala Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-10 dan 44.

JDT kini mengumpul 46 mata, empat di depan pasukan tangga kedua, FELDA United yang turut membelasah Pahang 3-0 di Stadium darul Makmur.

Gol pelawat diperoleh menerusi Zah Rahan Kragar pada minit ke-39 sebelum Shukor Adan dan Francis Forkey Doe menjaringkan gol pada minit ke-43 dan 47.

Di Stadium Darul Aman, Kedah dikejutkan menerusi jaringan awal pemain Sarawak Makeche Ndumba pada minit ke-51 sebelum tuan rumah bangkit menerusi gol sendiri pemain pelawat Tommy Mawatanak pada minit ke-63 dan Liridon Krasniq menyempurnakan penalti untuk kemenangan tuan rumah pada minit ke-73.

Kedah kini berkedudukan ketiga liga, 14 mata di belakang FELDA United manakala pasukan tangga keempat, Selangor bernasib baik apabila seri 1-1 berdepan Terengganu di Shah Alam.

Perlawanan lain menyaksikan Kelantan menang tipis 3-2 mengatasi Pulau Pinang manakala tiada jaringan disaksikan antara Perak dan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Berita Harian X