Rabu, 17 Ogos 2016 | 1:13am

Olimpik: Bolt catat 20.28 saat saringan 200 meter


USAIN Bolt beraksi dalam saringan acara pecut 200 meter (m) di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, awal pagi tadi. - Foto EPA

RIO DE JANEIRO: Usain Bolt menghangatkan suasana tenang di Stadium Olimpik, awal pagi tadi dalam usahanya memenangi tiga pingat emas di Rio selepas mengharungi saringan acara pecut 200 meter (m) dengan catatan 20.28 saat (s).

Berlari di saringan kesembilan, setiap langkah bintang pecut kelahiran Jamaica itu mendapat tepukan gemuruh penonton sebelum mengharungi saringan dengan mudah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir yang dijadual pada Khamis ini.

Bolt mengesahkan emas acara riben biru 100m, Ahad lalu dan kemaraan ke separuh akhir meletakkannya di landasan baik untuk menyapu bersih ketiga-tiga gelaran pecut yang dipertandingkan di Olimpik - 100m, 200m dan 4x100m.

Acara pecut 200m dianggap Bolt sebagai acara kegemarannya dan dia menjanjikan akan menampilkan kebangkitan di Rio dalam usahanya untuk memecah rekod dunia yang dilakukan pada 1999 iaitu 19.19s.

"Saya sudah pulih namun saya sedikit letih," kata Bolt.

"Saya bukannya seorang yang suka merungut, saya hanya datang ke sini untuk layan dan itulah yang saya lakukan. Saya menjadi gemuruh kerana ia adalah acara kegemaran saya dan saya tidak mahu kalah.

"Saya akan menjadi lebih baik esok," katanya.

Antara pencabar yang mampu menghalang Bolt ialah musuh tradisi, Justin Gatlin dari Amerika Syarikat (AS) yang tidak bermasalah untuk layak dengan catatan 20.42s.

Pelari kontroversi itu berkata dia sudah pun melupakan kekecewaan ditewaskan oleh Bolt dalam satu lagi kejohanan besar selepas sekadar meraih perak dalam acara 100m. - Reuters

"Saya bermotivasi sejak hari pertama di sini dan saya akan terus bermotivasi sehingga larian terakhir saya di garisan penamat," kata atlet berusia 34 tahun itu.

Seorang lagi pelumba AS, LaShawn Merritt muncul pelari terpantas ketika saringan dengan melakukan catatan 20.15s dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda penat selepas memenangi pingat gangsa dalam acara 400m pada Ahad. - Reuters

Berita Harian X