Rabu, 17 Ogos 2016 | 2:57pm

Ella mahu bawa Lara Alana balik rumah


Norzila Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Ella di majlis pelancaran program Lara Oh Lara di Citta Mall. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Naluri keibuan ratu rock, Ella jelas terpancar ketika menjadi artis jemputan mengasuh anak selebriti popular, Lara Alana dalam program realiti baharu, Lara Oh Lara.

Pelbagai keletah dan aksi si comel Lara dapat disaksikan apabila Ella mengambil alih tugas mengasuh Lara daripada ibu bapanya iaitu Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Ella yang mula bertudung sejak Ramadan lalu memberitahu BH Online, dalam salah satu episod program realiti berkenaan, suaminya, Azhar Huzaimi Ghazalli turut membantunya menjaga Lara.

"Saya suka sangat dengan Lara. Geram tak terhingga. Malah, saya tak ketinggalan menjadi pengikutnya di laman Instagram. Keletah dan sikapnya cukup memikat hati.

"Hati kalau risau pun akan okay selepas melihat Lara. Malah, ketika proses rakaman episod itu, saya sempat berseloroh nak bawa Lara pulang ke rumah," katanya.

Selain Ella, artis lain seperti Neelofa, Remy Ishak, Zizan Razak, Dynas Mokhtar dan Liyana Jasmay juga menjadi tetamu istimewa dalam program yang mula disiarkan, malam ini mengisi slot eBu di Astro Ria dan Astro Ria HD.

Selain menjadi tetamu undangan program itu, Ella turut menyanyikan lagu tema Lara Oh Lara berjudul Permata ciptaan DJ Fuzz.

"InsyaAllah lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaharu saya dijangka berada di pasaran akhir tahun ini," kata Ella teruja.

Dalam perkembangan lain, Ella akan membuat persembahan secara langsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Ahad ini pada jam 9 malam.

Peminat Ella dialu-alu menyaksikan aksi diva rock itu secara percuma.

Berita Harian X