Rabu, 17 Ogos 2016 | 7:04pm

MRCB bangun projek hartanah ikonik RM1.5b

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) akan melancarkan Sentral Suites, Kuala Lumpur Sentral CBD, projek ikonik di hab pengangkutan Kuala Lumpur bernilai RM1.5 bilion, pada suku keempat tahun ini.

Naib Presiden Komersial MRCB, Wong Hong Yeong, berkata projek yang akan dibangunkan dalam tempoh empat tahun setengah menerusi tiga fasa itu, merangkumi pembinaan tiga menara setinggi 43 tingkat dan dua tingkat unit komersial.

Katanya, projek dengan rekaan dinamik kontemporari itu menyediakan 1,434 apartmen servis satu hingga tiga bilik tidur berkeluasan 651 kaki persegi hingga 1,166 kaki persegi, berharga antara RM730,000 hingga RM1.3 juta seunit.

Beliau berkata, fasa pertama akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini, dengan sumbangan jualan kepada pendapatan kumpulan dijangka bermula tahun depan iaitu sekitar 20 peratus hingga 30 peratus sepanjang empat tahun setengah pembinaannya.

"Untuk tahun ini kami hanya melancarkan Menara Satu dan berdasarkan sambutan luar biasa pembeli, kami jangkakan 80 peratus unit ditawarkan akan dapat dijual dalam tempoh enam bulan.

"Segmen komersial pula meliputi 41 unit kedai berhadapan jalan utama, yang mana rundingan dengan jenama runcit terkemuka hanya akan dimulakan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya pada sidang media mengenai kerjasama strategik dengan PropertyGuru di sini, hari ini.

Kerjasama strategik itu menyaksikan PropertyGuru akan bekerjasama membangunkan pelan pemasaran dan penjenamaan digital khusus untuk MRCB bagi projek Sentral Suites dengan kos keseluruhan RM4 juta.

Pelaburan terbesar syarikat hartanah dalam platform digital itu bertujuan menumpukan segmen pasaran khusus iaitu pembeli muda dan eksekutif di negara ini.

Ia sejajar hasil tinjauan Google yang menyaksikan 90 peratus daripada pembeli hartanah beralih menggunakan carian dalam talian untuk mencari dan membeli hartanah.

Info:

Sentral Suites

* Tiga menara kediaman 43 tingkat

1,434 apartmen servis

1 - 3 bilik tidur

keluasan 651 kaki persegi - 1,166 kaki persegi

Harga seunit RM730,000 - RM1.3 juta .

* Dua tingkat unit komersial.

- 41 unit kedai

- berhadapan jalan utama

Berita Harian X