X
Rabu, 19 November 2014 | 3:33pm
PEGAWAI Unit Penguatkuasaan KPDNKP Sarawak, Muhammad Farhan Esa (kiri) dan Pengarah Kanan Program Pematuhan, Asia Pasifik BSA Roland Chan bersama 23 komputer dan 137 perisian, yang disyaki salinan cetak rompak bernilai kira-kira RM862,600, dalam tiga serbuan di sini dan Kota Semarahan pada sidang akhbar di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PEGAWAI Unit Penguatkuasaan KPDNKP Sarawak, Muhammad Farhan Esa (kiri) dan Pengarah Kanan Program Pematuhan, Asia Pasifik BSA Roland Chan bersama 23 komputer dan 137 perisian, yang disyaki salinan cetak rompak bernilai kira-kira RM862,600, dalam tiga serbuan di sini dan Kota Semarahan pada sidang akhbar di sini hari ini. - Foto BERNAMA

23 komputer, 137 perisian cetak rompak bernilai RM862,600 dirampas

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak merampas 23 komputer dan 137 perisian, yang disyaki salinan cetak rompak bernilai kira-kira RM862,600 dalam tiga serbuan di sini dan Kota Semarahan minggu lalu.

Pegawai Unit Penguatkuasaan KPDNKK Sarawak, Muhammad Farhan Esa, berkata 13 komputer dirampas daripada sebuah kolej swasta di sini dalam serbuan pada Rabu dan empat lagi kemudiannya dari sebuah syarikat hiasan dalaman di Kuching.

Pada hari berikutnya pegawai KPDNKK merampas enam lagi komputer daripada sebuah syarikat pemaju hartanah di Kota Semarahan, yang disyaki menggunakan perisian cetak rompak dan tanpa lesen dalam operasinya.

Farhan berkata semua perisian terbabit didapati digunakan dalam operasi harian syarikat berkenaan dan menjadi milik Adobe, Autodesk atau Microsoft sekali gus menjadi kesalahan mengikut Akta Hak Cipta 1987.

"Jika didapati bersalah, syarikat terbabit dan pihak pengurusannya boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan perisian haram itu. Pengarah atau pihak pengurusan kanan syarikat terbabit juga boleh dikenakan penjara hingga lima tahun," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Serbuan itu dilakukan dengan bantuan Business Software Alliance (BSA), sebuah pertubuhan perdagangan bukan mencari keuntungan, yang memperjuangkan kepentingan industri perisian dan rakan perkakasan mereka.

Kementerian itu berharap dapat meneruskan kerjasama dengan BSA dalam menangani penggunaan perisian tanpa lesen oleh badan perniagaan di Sarawak.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Pengarah Kanan Program Pematuhan, Asia Pasifik BSA Roland Chan.

Beribu pejabat di Amerika, BSA bergiat aktif di lebih 80 negara dan mempunyai 11 pejabat, termasuk di Kuala Lumpur, Brussels, Jakarta dan Singapura. - BERNAMA

Berita Harian X