Khamis, 18 Ogos 2016 | 12:01am
AKIHITO dan Michiko melawat mangsa Tsunami.

Hasrat turun takhta, Akihito mulakan era baru Jepun


MAHARAJA Akihito.

"SAYA sudah berusia 80 tahun dan bertuah kerana masih sihat. Ada kalanya saya bimbang apabila memikirkan tahap kecergasan dan kesihatan yang semakin menurun.

"Pasti sukar untuk saya melaksanakan tugas sebagai simbol negara sebaik mungkin seperti saya telah lakukan sehingga ke hari ini," titah Maharaja Akihito yang bakal meraikan ulang tahun ke-83, 23 Disember ini.

Baru-baru ini, Akihito membuat ucapan jarang dilakukan menerusi televisyen berhubung keadaan kesihatannya yang semakin menurun dan beban tugasnya.

Malah baginda turut mengemukakan perbincangan berhubung peranan keluarga diraja dan kemungkinan mengenai masa depan negara Jepun itu sendiri.

Menurut Akta Pengurusan Diraja Jepun, Akihito, 82, perlu berkhidmat sebagai maharaja sepanjang hayat. Seandainya baginda tidak mampu menjalankan tugas, tanggungjawab itu bakal dipikul putera mahkota atau pemangkunya. Namun ucapan baginda mengundang spekulasi baginda mungkin berhasrat untuk turun takhta.

Walaupun Akihito tidak menyatakan secara jelas hasratnya itu, bermaksud kata-kata diucapkannya bebas untuk ditafsirkan, Perdana Menteri Shinzo Abe dan pemimpin politik lain menegaskan perlunya meneliti ucapan baginda secara serius.

Kenyataan seperti itu mencadangkan, ia mungkin satu permulaan lembaran baharu perdebatan dalam melaksanakan pembaharuan ke atas tradisi keluarga diraja Jepun.


AKIHITO bertemu Michiko Shoda dan pasangan itu jatuh cinta ketika bermaintenis di Karuizawa, di Nagona.

Akihito pernah menjalani pembedahan bagi merawat kanser prostat dihidapinya pada 2003 manakala pembedahan jantung pada 2012.

Justeru, baginda menyatakan, tahap kecergasan dirinya yang semakin menurun sekali gus menjejaskan kemampuannya menggalas beban tugas rasmi.

Seandainya, perlembagaan diubah, baginda sekali lagi bakal memecah tradisi, turun takhta sebelum waktunya. Baginda bakal mengulangi tindakan moyangnya, Maharaja Kokaku yang turun takhta pada 1817.

Berdasarkan giliran pewaris takhta Jepun, Putera Naruhito, 56, berada pada giliran seterusnya, namun oleh kerana beliau tidak mempunyai pewaris lelaki, kemungkinan takhta bakal diserahkan kepada adindanya Putera Fumihito (Putera Akishino) kerana beliau satu-satunya pewaris dengan anak lelaki iaitu Putera Hisahito.

Dilahirkan pada 23 Disember 1933 di Istana Diraja Tokyo, Akihito terkenal sebagai monarki yang memecah tradisi keluarga diraja Jepun berusia 2,600 tahun itu.

Mengahwini seorang rakyat biasa adalah satu daripadanya. Akihito bertemu jodoh dengan Michiko Shoda dan pasangan itu jatuh cinta ketika bermain tenis di Karuizawa, di Nagona.


NARUHITO dan Masako ketika majlis perkahwinan mereka.

Michiko adalah anak seorang pengusaha kilang tepung (Syarikat Nisshin Flour Milling) dan kisah cinta mereka terkenal sebagai 'kisah cinta gelanggang tenis'.

Hasil perkahwinan diraja itu, pasangan itu dianugerahkan tiga cahaya mata, Putera Mahkota Naruhito, Putera Fumihito, 50, dan Puteri Sayako Kuroda, 47, (Puteri Nori).

Pasangan diraja itu memiliki empat cucu, Puteri Aiko (anakanda Putera Mahkota Naruhito dan Puteri Masako); Puteri Mako, Puteri Kako dan Putera Hisahito (anakanda Putera Fumihito dan Puteri Kiko).

Menariknya mengenai pasangan diraja itu, mereka masih mengekalkan tradisi biasa Jepun walaupun memiliki status raja. Akihito memiliki kebun yang dijadikan kawasan penanaman padi dan memprosesnya hingga menjadi beras.

Maharani Michiko pula mengusahakan penternakan ulat sutera. Ia adalah warisan turun-temurun daripada Maharaja Meiji sejak tahun 1871.

Baginda berdua terkenal dengan sikap mesra rakyat. Hanya selepas keadaan kesihatan Akihito semakin merosot menyebabkan baginda berdua mengurangkan aktiviti luar dan banyak tugasan rasmi diserahkan kepada Naruhito.

Naruhito adalah pewaris utama takhta keluarga diraja kekwa itu yang mengahwini Masako, seorang bekas diplomat.

Kisah cinta mereka juga penuh kontroversi. Pertemuan pertama Putera Naruhito ketika acara minum petang anak Raja Sepanyol, Duchess of Lugo, Infanta Elena, pada November 1986.

Sejak itu Naruhito jatuh hati dan sering mengatur beberapa pertemuan dengan Masako namun beberapa kali ditolak, bimbang perkahwinannya bakal menggugat kerjaya dan mengongkong kebebasannya.

Akhirnya lamaran ketiga dan sedikit diplomasi membuka pintu hari Masako untuk mengahwini Naruhito dan majlis perkahwinan mereka berlangsung pada 9 Jun 1993.

Bagaimanapun langit tidak selalunya cerah bagi pasangan diraja itu. Masako disahkan mengalami tekanan jiwa dipercayai berpunca akibat desakan mendapatkan pewaris lelaki dan gaya hidup diraja yang penuh kongkongan.

Jika akta diraja itu masih di takuk lama, hanya masa yang menentukan sampai bila Akihito harus memerintah. Adakah Naruhito layak menggantikan ayahandanya atau adindanya disebabkan pewaris. Semua itu masih menjadi persoalan.


AKIHITO pernah mengalahkan George W Bush (kiri) ketika perlawanan tenis.

Maharaja Akhihito pecah tradisi

  • Berkahwin dengan orang kebanyakan
  • Menjaga dan membesarkan anak-anaknya tanpa pembantu
  • Menghantar anak ke sekolah biasa tanpa ada tutor peribadi
  • Merapatkan jurang antara keluarga diraja dan orang awam (pernah memberi kebenaran seorang pelajar sekolah mengambil gambar baginda berdua)
  • Melakukan kajian iktiologi (Sains Perikanan) mengenai spesis ikan Gobi.
  • Pewaris takhta keluarga diraja tertua di dunia
  • Pemain alat muzik Cello (Selo) yang baik
  • Seorang pemain tenis yang baik dan pernah mengalahkan bekas Presiden Amerika Syarikat Geogrge W Bush sebanyak dua kali.
  • Menamakan sejenis spesis ikan Gobi sempena nama baginda - Exyrias Akihito
  • Simbol perpaduan dan kemajuan Jepun - baginda menggerakkan negara matahari terbit itu sehingga bebas daripada peperangan

Info - Raja yang masih memerintah

  • Raja Harald V - Norway
  • Sultan Hassanal Bolkiah - Brunei Darussalam
  • Raja Bhumibol Adulyadej - Thailand
  • Raja Norodom Sihamoni - Kemboja
  • Raja Abdullah - Jordan
  • Raja Salman AbdulAziz - Arab Saudi
Berita Harian X