X
Khamis, 18 Ogos 2016 | 10:31am

Olimpik: Bolt ke final 200m, Gatlin tersingkir

USAIN Bolt (tengah) sempat berjenaka dengan pelari Kanada, Andre De Grasse (kiri) sejurus tamat acara separuh akhir 200 meter di Olimpik Rio, sebentar tadi. - Foto AFP
USAIN Bolt (tengah) sempat berjenaka dengan pelari Kanada, Andre De Grasse (kiri) sejurus tamat acara separuh akhir 200 meter di Olimpik Rio, sebentar tadi. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Usain Bolt menempah tiket ke pentas final 200 meter sebentar tadi, selepas meraih kemenangan selesa di separuh akhir, namun tiada tempat buat pencabarnya dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin.

Gatlin, yang pernah menjalani dua hukuman penggantungan doping, gagal menghangatkan litar apabila hanya menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan catatan 20.13 saat dan terlepas tiket ke final.

Namun, cerita berbeza diukir Bolt apabila mencatat masa peribadi terbaik tahun ini 19.78 saat untuk mara ke pentas final dan dia sedang memburu misi mengulangi pencapaian treble pada dua edisi sebelum ini.

Malah, Bolt kelihatan seperti tidak mengerah tenaga sepenuhnya apabila mengurangkan pecutan pada baki 40 meter terakhir untuk mara ke final bersama pelari Kanada, Andre De Grasse di tempat kedua.

Bolt sebelum ini meraih kemenangan ketiga dalam acara 100m pada Ahad lalu sekali gus semakin hampir mengulangi pencapaian tiga pingat emas 100, 200 dan 4x100m pada edisi Olimpik Beijing 2008 dan London 2012. - AFP

Berita Harian X