Jumaat, 19 Ogos 2016 | 12:32pm

UiTM lestari kecemerlangan Bumiputera

SAYA tersenyum lebar membaca cerita Wan Nazri Wan Aria, seorang anak Melayu yang dilantik sebagai ketua jurutera struktur pembinaan Menara Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait di Masjidil Haram, Makkah.

Lebih membanggakan lagi apabila saya tahu bahawa beliau adalah alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya menjemput Wan Nazri ke pejabat saya dan dia menceritakan pengalamannya dari UiTM hingga ke sebuah firma kejuruteraan Jerman yang terkemuka.

Beliau memberitahu bagaimana usaha kerasnya semasa bergraduat dan hanya menerima gaji sebanyak RM400 sebulan kerana ingin menimba ilmu pengetahuan daripada seorang mentor yang di anggap hebat di matanya.

Menurut beliau, di awal kerjaya, mendapat pengalaman, ilmu dan meningkatkan kemahiran adalah lebih penting daripada gaji yang diberi. Usah berkira di awal kerjaya, dan pengorbanan keselesaan hidup buat sementara waktu akan direstui.

Pendirian Wan Nazri terbalas apabila ditawarkan gaji lebih RM3,000 oleh firma kejuruteraan lain, dan apabila beliau memberitahu mentornya sedemikian, mentornya pula menawarkan gaji yang lebih besar!

Tidak lama kemudian, beliau bersama isteri menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Jerman. Walaupun menghadapi kekangan kewangan, beliau mengambil inisiatif untuk membiayai pengajian di Jerman dengan mengajar kelas badminton kepada orang tempatan.

Semuanya tidak menjadi halangan kepada Wan Nazri. Kekuatan minda beliau berfikir secara positif, sanggup berkorban dan bersusah-susah dahulu, kini telah mendatangkan kebaikan kepadanya.

Beberapa bulan sebelum itu, saya terkejut dan tidak percaya apabila diberitahu dua pelajar UiTM diwakili Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho Abdullah telah mengalahkan pendebat dari Universiti Harvard, Oxford dan Cambridge dan menang pertandingan debat antara universiti di Cambridge sendiri.

Pengiktirafan berganda

Mereka membuktikan bahawa tidak mustahil bagi pelajar Malaysia menjadi juara debat pada peringkat antarabangsa, serta mampu mengalahkan pelajar Inggeris di halaman mereka sendiri.

Dalam perkembangan lain, pengiktirafan berganda diterima apabila saudara Mohd Mifzal dipilih oleh komuniti debat sedunia sebagai Ketua Hakim Kejohanan Debat Universiti-Universiti Dunia yang akan bakal berlangsung di Mexico pada tahun depan.

Baru-baru ini, saya berjumpa Datuk Seri Shazalli Ramli ketika beliau menyampaikan syarahan sempena program Fakulti CEO.

Shazalli yang berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad, baru sahaja dinaikkan pangkat kepada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Serantau-Asia Tenggara.

Dalam ucapan yang disampaikan di Dewan Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, beliau menyatakan betapa bangganya beliau terhadap UiTM. Beliau adalah graduan UiTM Arau, Perlis dan telah berjaya menempa kejayaan pada peringkat tertinggi sektor korporat.

Selain beliau, terdapat banyak nama besar seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Kamaruddin Meranun; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Aminar Rashid Salleh dan ramai lagi yang berjaya dilahirkan oleh UiTM.

Dalam industri muzik, penyanyi muda bergaya Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna, mengharumkan nama negara apabila album terbarunya tersenarai di carta muzik Amerika Syarikat. Yuna pula adalah graduan Fakulti Undang-Undang UiTM.

Ramai alumni UiTM menjulang martabat bangsa dan juga melahirkan pemimpin negara.

Yang Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah graduan Diploma Pentadbiran ketika UiTM masih dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, juga alumni ITM program Diploma Perakaunan.

Sesungguhnya, UiTM telah banyak mengubah masa depan kaum Bumiputera.

Kewujudan UiTM adalah di atas kepercayaan bahawa anak Melayu dan Bumiputera kita, di sebalik latar belakang kekurangan dan kemiskinannya, jika diberi peluang untuk belajar, mampu bersaing dengan mana-mana kaum dan mampu mengubah nasib keluarga mereka serta destini bangsanya, sehingga ke persada antar abangsa.

Saya percaya, graduan UiTM perlu terus memanfaatkan ruang dan peluang untuk mencipta kejayaan pada masa hadapan.

Hakikatnya, pensyarah, kakitangan dan pelajar UiTM memang perlu merenung sejarah perjuangan silam. Semakin rumit halangan yang ditempuh, semakin mantap kesatuan bangsa Melayu.

Lestari kewujudan bangsa

Resipi terbabit diperlukan untuk terus melestarikan kewujudan bangsa Melayu yang unggul. Ibarat kata pepatah 'dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke langit menjadi bintang', graduan UiTM perlu mempersiapkan diri untuk menempuh alam pekerjaan dan terus menunjukkan kecemerlangan dalam apa juga bidang diceburi.

Jika anda percaya anda boleh cemerlang, maka anda akan cemerlang. Kelak, saya yakin jika kerangka pemikiran berubah, graduan UiTM dapat berjaya, tidak kira sama ada sebagai pegawai, pemimpin atau usahawan sejurus itu memberi impak positif pada masyarakat.

UiTM telah banyak berjasa dan akan terus mencipta nama di mata dunia juga di hati alumni mereka sendiri. UiTM DI HATIKU. Semoga UiTM terus melangkah maju.

Berita Harian X