Jumaat, 19 Ogos 2016 | 5:14pm

Keracunan makanan, dewan makan MCKK ditutup sementara

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

KUALA KANGSAR: Jabatan Kesihatan Perak mengarahkan pengendali makanan bagi Dewan Makan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menghentikan operasi sementara waktu bagi menyiasat kes keracunan makanan membabitkan 56 pelajar.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata siasatan awal mendapati pengendali menggunakan perkakas kotor untuk menyediakan makanan.

"Siasatan awal mendapati van yang digunakan untuk mengangkut makanan dari dapur ke dewan makan kotor dan mengandungi ulat sampah.

"Antara faktor risiko dikesan ketika siasatan awal adalah penggunaan perkakas kotor seperti dulang makanan, bekas dan penapis air serta mangkuk dan pinggan yang tidak dibersihkan dengan sempurna.

"Kita masih menyiasat punca keracunan. Susulan kejadian, dapur asrama ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Juita berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa sampel peralatan dan air sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

Pada peringkat awal, katanya, empat pelajar disahkan mengalami keracunan makanan oleh Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) sebelum bilangannya meningkat kepada 38 pelajar sehingga jam 11.20 malam kelmarin.

"Tiga daripada pelajar berkenaan dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X