Sabtu, 20 Ogos 2016 | 12:02am
NASI ikan keli penyet antara menu popular di Warong Bistro
ASAM pedas adalah antara menu wajib Batu Pahat
MASAK lemak daging salai memang enak dimakan bersama nasi panas
PECAL sayur adalah antara hidangan yang boleh membangkitkan selera

Asam pedas Johor, sambal goreng jawa di Warong Bistro


ANTARA masakan utama disediakan Warong Bistro.

MENYEDARI masyarakat hari ini gemar mencuba selain gigih mencari tempat makan sedap kekangan jarak memberi ilham kepada pemilik Warong Bistro, Latifah Omar, tampil dengan masakan dari Johor, khasnya daerah kelahirannya, Batu Pahat.

Pecal sayur, sambal goreng Jawa, masak lemak daging salai dihidangkan bersama kerabu mangga muda, gulai asam pedas Johor, nasi ayam atau ikan keli penyet diangkat sebagai menu popular restorannya yang turut menyajikan kuih-muih serta nasi campur.

"Selama 12 tahun berniaga, ini antara menu dicari pelanggan dan ada juga datang dari luar kawasan ini semata-mata ingin menikmati masakan yang biasanya ditemui di Johor," " katanya mengaku restorannya itu paling sesak menjelang waktu makan tengah hari.

Katanya, sejak jam 12 tengahari, restorannya mula didatangi pelanggan menikmati lauk-pauk panas termasuk gulai kawah daging.

Nasi ayam harga mampu


SEBAHAGIAN pelanggan memilih hidangan di Warong Bistro.

Tidak kurang juga yang mencari nasi ayam menawarkan saiz hidangan mengenyangkan. Menurut Latifah, nasi ayam itu tidak pernah naik harga sejak membuka Warong Bistro.

"Berbanding mengaut untung berganda, saya lebih seronok melihat pelanggan berselera menikmati masakan di restoran ini," kata Latifah.

Latifah gembira sambal goreng makanan tradisi masyarakat Jawa diberi sambutan hangat pengunjungnya meskipun dia tidak mengikut seratus peratus resipi aslinya.

"Saya tidak menyelitkan kentang yang menjadi ramuan wajib sebaliknya meletakkan kacang panjang, tempe, fucuk, soon sebelum merenjis kicap bagi memberi rasa manis," katanya.

Asam pedas Johor memikat selera menerusi kuahnya yang pekat hasil dari gabungan ramuan air asam jawa, daun kesum bersama bunga kantan.

Tidak lengkap hidangan sekiranya meninggalkan pecal sayur yang disyorkan sebagai ulam-ulaman sewaktu menjamah nasi manakala mi bakso lebih menyelerakan dengan pilihan minuman sirap bandung Batu Pahat, Ribena laici atau epal asam boi.

Dibandingkan sirap bandung biasa, cetusan rasa manis campuran soda dan susu menjadikan minuman itu lebih ekslusif namun pada masa sama, menyegarkan tekak.

Khidmat penghantaran ke rumah


LATIFAH di hadapan Warong Bistro di Taman Bukit Cheras

Bagi pelanggan tinggal berdekatan restorannya seperti Taman Len Sen dan Alam Damai, Warong Bistro menyediakan khidmat penghantaran makan tengah hari dan makan malam setiap hari dengan minimum 20 hari.

Menawarkan harga serendah RM8 untuk seorang, pelanggan boleh mencampurkan tiga set menu A, B dan C yang menyediakan hidangan lazat antaranya, ayam goreng berempah, ayam kurma, sup daging dan tulang, daging masak kicap, ikan masak tiga rasa, ikan Dory masam manis, lala masak lemak, kangkung belacan, kerabu mangga, kentang goreng cili, sup sayur dan banyak lagi dengan bayaran tambahan RM1 untuk nasi bagi seorang makan.

"Saya terima juga tempahan untuk 10 hari kerana faham kesibukan mereka yang bekerja dan tidak sempat masak. Begitupun, atas sebab kekurangan kaki tangan, saya putuskan untuk menerima permintaan bagi kawasan berdekatan restoran saja," katanya memberitahu menu hujung minggu menyelitkan masakan Barat bagi kepelbagaian rasa dan pilihan.

Spageti aglio e olio, pasta, sup cendawan, sup bebola daging hingga sarapan pagi ala Amerika sentiasa menanti pelanggan yang datang ke restoran itu untuk mengisi perut dan melayan selera yang inginkan sarapan berat dan mengenyangkan.

INFO: Warong Bistro
Lokasi: Taman Bukit Cheras
Waktu Operasi: Setiap hari bermula 7 pagi hingga 4 petang
* Harga menu serendah RM8
* Nasi ayam berharga RM3.50
- Hampir 40 sajian ala carte lauk-pauk kampung.

Berita Harian X