Sabtu, 20 Ogos 2016 | 12:14am

Ambil vaksin HPV sebelum seks pertama


VAKSIN untuk mencegah, Virus Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca barah pangkal rahim (kanser serviks), perlu diberikan kepada remaja berusia 13 tahun, sebelum mereka terbabit dengan aktiviti seksual.

Ini kerana walaupun hanya sekali terjebak dengan aktiviti seks, seseorang individu berisiko mendapat jangkitan HPV atau penyakit kelamin dan seterusnya terdedah kepada barah yang boleh meragut nyawa itu.

Lebih membimbangkan, lebih 97 peratus jangkitan HPV dikaitkan dengan barah pangkal rahim dan barah lain seperti barah bibir faraj, vagina, leher dan tekak dalam kalangan gadis dan wanita.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi/Onkologi, Gleneagles Pulau Pinang, Prof Dr Suresh Kumarasamy, berkata vaksin HPV dalam kalangan lelaki juga melindungi mereka daripada barah dubur dan zakar.

"Di Asia, vaksin adalah kaedah paling mudah untuk dijalankan dalam usaha mencegah penyakit barah pangkal rahim, berbanding ujian saringan seperti pap smear.

"Sejak George Papanicolaou menemui pap smear pada tahun 1928, banyak negara di dunia masih gagal mengawal barah pangkal rahim dengan baik.

"Ini kerana saringan perlu dilakukan secara teratur dan memerlukan infrastruktur yang baik untuk melaksanakannya," katanya.

Ujian pap smear kurang berkesan


VIRUS Papiloma Manusia (HPV).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Pendidikan Vaksin Bersama Media Asia Pasifik yang dianjurkan MSD sempena Persidangan Organisasi Penyelidikan Jangkitan Kelamin dan Neoplasia Asia-Pasifik (AOGIN 2016), di Singapura, baru-baru ini.

Bengkel berkenaan turut dihadiri Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Filipina, Dr Efren J Domingo dan Pengarah Hal Ehwal Perubatan Serantau MSD (Vaksin), Dr Anuj Walia.

Dr Suresh, berkata ujian saringan pap smear di negara seperti Malaysia kurang berkesan akibat kekurangan infrastruktur berbanding memberikan vaksin.

Sejak sepuluh tahun lalu, beliau berkata, vaksin HPV adalah inovasi besar dalam pembangunan perubatan dan sangat penting bagi mencegah penyakit yang menyakiti ramai wanita di dunia.

Vaksin lebih berkesan

"Vaksin ini menunjukkan keberkesanan sejak diperkenalkan dan pertama kali didaftarkan pada tahun 2006 untuk digunakan di Mexico, Australia dan Amerika Syarikat," katanya.

Walaupun lelaki tidak mendapat vaksin ini tetapi mendapat manfaat sama apabila pasangan mereka dilindungi dengan vaksin ini berdasarkan data menunjukkan penurunan dalam kes jangkitan HPV seperti ketuat kelamin.

Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila hanya beberapa negara dari Asia memberikan vaksin ini menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) berbanding 60 negara di barat.

Dr Efren berkata, pesakit barah pangkal rahim termuda pernah diterima di institusinya adalah gadis berusia 13 tahun yang menjadi pekerja seks sejak berusia enam tahun lagi.


(DARI kiri) Dr Anuj Walia, Dr Efren J Domingo dan Prof Dr Suresh Kumarasamy.

Amat menyedihkan apabila gadis semuda itu menghidap barah pangkal rahim dan barah berkenaan hanya dikesan ketika sudah mencecah tahap tiga atau lewat .

Sementara itu, Dr Anuj berkata, barah pangkal rahim adalah serangan paling kerap menyerang wanita muda dan remaja perempuan yang mana majoriti kes berlaku di rantau Asia.

Barah ini amat menyakitkan dan membuatkan penghidap dan keluarga bukan saja menderita dengan beban kesakitan malah kos yang tinggi untuk rawatan.

Begitu menyedihkan apabila wanita muda yang berada di puncak usia produktif dikesan mengalami barah pada tahap lewat kerana penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala.

Ada kajian yang meluas di seluruh dunia mengaitkan 97 peratus HPV ada kaitan dengan barah pangkal rahim dan barah lain seperti barah bibir faraj (vulva), faraj (vagina), dubur (anal), zakar (penile) dan ketuat kelamin.


PAKAR Obstetrik dan Ginekologi/Onkologi, Gleneagles Pulau Pinang, Prof Dr Suresh Kumarasamy.

Info: Jenis HPV dan penyakit barah dibawa:

# HPV jenis 16 dan 18:

-70 peratus menyebabkan barah pangkal rahim

* 527,600 kes barah pangkal rahim berlaku setahun di dunia.

* 265,000 kes barah pangkal rahim berlaku di Asia setiap tahun.

(50 peratus kes barah pangkal rahim berlaku di Asia-Pasifik)

# HPV jenis 16 dan 18:

- 40 hingga 50 peratus menyebabkan barah vulva

- 70 peratus menyebabkan barah vagina

* 12,000 kes barah vulva berlaku setiap tahun di seluruh dunia

* 9,000 kes barah vagina berlaku setiap tahun di seluruh dunia

* 395 wanita maut setiap hari

* 16 wanita maut setiap jam

* Seorang wanita maut setiap minit

* HPV jenis 16 dan 18:

- 80 peratus menyebabkan barah anal

- 24,000 kes setiap tahun di seluruh dunia

* HPV jenis 6 dan 11:

- 90 peratus menyebabkan ketuat kelamin

- 32 juta kes setiap tahun di seluruh dunia

* Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan pemberian vaksin:

- Dua dos (0,6 bulan) untuk gadis berusia bawah 15 tahun

- Tiga dos untuk gadis berusia 15 tahun ke atas dan bagi populasi yang tinggi kadar penyakit berkaitan imun seperti HIV.

* Selain hubungan seks, HPV boleh dijangkiti menerusi:

- Sentuhan kepada kelamin yang dijangkiti

- Sentuhan oral kepada kelamin yang dijangkiti

* Penurunan HPV di Australia hasil program vaksinasi:

- Bawah 21 tahun:

Ketuat kelamin - Perempuan (92.6 peratus)

- Lelaki (81.8 peratus)

- 21 hingga 30 tahun:

Ketuat Kelamin-Perempuan (72.6 peratus)

-Lelaki (51.1 peratus)

Berita Harian X