Sabtu, 20 Ogos 2016 | 7:42am

Tali pinggang WBC, surat Muhammad Ali antara dilelong


KEADAAN trafik perlahan menghala ke Selatan manakala trafik lancar menghala ke Utara ketika tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Seremban. - NSTP/Adzlan Sidek

NEW YORK: Tali pinggang kejuaraan heavyweight WBC pada 1974 milik Muhammad Ali dan satu surat tulisan tangan mengenai keputusannya memeluk agama Islam, antara barangan yang menjadi tumpuan pada lelongan khas, September ini.

Lelongan koleksi milik legenda tinju dunia itu adalah pertama dan yang terbesar sejak Muhammad Ali meninggal dunia pada Jun lalu.

Firma lelongan, Heritage Auctions berkata, barangan lain yang termasuk dalam lelongan khas itu ialah seluar tinju (celana) yang dipakai Ali ketika kemenangan "Rumble in the Jungle" ke atas George Foreman di Zaire, Afrika, pada 1974.

Sarung tangan yang dipakai Sonny Liston ketika dia kalah kepada Ali pada tahun 1964, juga antara 79 koleksi lelongan pada 10 September itu.

Surat Ali kepada Majalah Life pada tahun 1964 itu menceritakan mengenai keputusannya memeluk Islam dan menukar namanya asalnya Cassius Clay, yang dijangka mencecah nilai lelongan sehingga AS$100,000, demikian menurut firma lelongan berpangkalan di Dallas itu.

Kathleen Guzman, Pengarah Urusan Heritage Auctions, berkata surat bertarikh 18 Februari 1964 itu juga disusuli satu temubual dengan peninju itu pada hari yang sama Majalah Life mengumumkan bahawa Ali sudah menukar namanya.

"Pengarang terutama Jack McDermott, amat bimbang dia (Ali) akan menafikan apabila majalah itu mengeluarkan artikel mengenai pengakuan agama baharunya. Jadi dia mengoyak sehelai kertas dan minta Ali menandatangani afidavit yang menjelaskan dia sudah menukar namanya," kata Guzman.

Heritage berkata, tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) yang pertama diberikan kepada pemenang tiga kali juara heavyweight dunia itu dijangka mencecah nilai lelongan sehingga AS$600,000.

Ali menghembuskan nafas terakhir pada 4 Jun lalu ketika usia 74 tahun selepas sekian lama bertarung dengan penyakit Parkinson. Allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Louisville, Kentucky.

"Sejak kematian Muhammad Ali, kami menerima banyak panggilan telefon dari pengumpul barangan dari seluruh negara yang mahukan barangan peribadi yang amat rapat dengan kehidupan dan kerjaya ikon tinju dunia itu," kata Chris Ivy, Pengarah Heritage Sports Collectibles.

Heritage Auctions berkata, kebanyakan barangan berkenaan dari pengumpul dan bukannya dari keluarga Ali yang masih menyimpan beberapa koleksi peribadinya.

Celana Ali pada perlawanan epik "Rumble in the Jungle" itu dijangka dijual sehingga AS$150,000, manakala sarung tangan tinju Sonny Liston itu dianggarkan AS$100,000, kata Heritage.

Awal bulan ini, sarung tinju Ali ketika berdepan dengan Joe Frazier pada 1971 dilelong AS$606,000 oleh firma lelongan lain. - REUTERS

Berita Harian X