Sabtu, 20 Ogos 2016 | 12:51pm

Kem tentera dibuka di Hutan Melintang

AHMAD Zahid (dua dari kanan) bersama Hishammuddin (dua dari kiri) merasmikan Rumah Komuniti UMNO Sembrong ketika majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KLUANG: Kementerian Pertahanan akan membina k tentera yang menempatkan Batalion Infantri Standard dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat di Hutan Melintang di Bagan Datoh, Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kem itu dijangka mula beroperasi awal tahun depan di tapak seluas 140 hektar yang berpotensi menempatkan lebih 1,000 anggota.

"Pembinaan Kem Hutan Melintang dilaksanakan dengan beberapa pertimbangan termasuk lokasi berdekatan 'blue border' iaitu sempadan laut Malaysia-Indonesia.

"Ia juga bagi memperkukuhkan aspek keselamatan di kawasan sekitarnya, sekali gus menangani kegiatan jenayah rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi kawasan terbabit.

"Kita juga menimbangkan berikutan keadaan Kem 23 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) Ipoh yang padat dan tidak boleh diperluas infrastrukturnya lagi kerana lokasinya terletak di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, pembukaan kem itu menunjukkan bahawa isu keselamatan sentiasa diberi perhatian.

Berita Harian X