Ahad, 21 Ogos 2016 | 9:48am

Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 bermula hari ini

DYMM Sultan Johor telah berkenan untuk berangkat ke Program Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016. - www.belediyehaberleri.com
DYMM Sultan Johor telah berkenan untuk berangkat ke Program Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016. - www.belediyehaberleri.com

MERSING: Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 bermula pagi ini yang menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melawat ke lapan pulau sekitar perairan Mersing, di sini.

Membabitkan jarak pelayaran sejauh lebih 500 kilometer, ia adalah program Kembara Jelajah Pulau yang termasuk dalam siri Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang memasuki edisi ke-20.

Jelajah selama dua hari satu malam itu menyaksikan Sultan Johor dan rombongan melawat ke Pulau Besar, Tengah Rawa, Mensirip, Pemanggil, Aur, Tinggi dan Sibu.

Hari ini, Sultan Johor dijadualkan memulakan jelajah dari Pulau Rawa dengan melawat rumah terapung (kelong), Atlantis yang terletak di Pulau Tinggi pada jam 9.30 pagi ini.

Baginda dan rombongan kemudian menuju ke Pulau Besar bagi menyempurnakan peletakan alamat berserta poskod bagi Projek Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar selain pelancaran Peti Pos Darat.

Baginda bersama rombongan kemudian menuju ke Batu-Batu Resort di Pulau Tengah melawat Pusat Penetasan Penyu sebelum menyempurnakan gimik pelepasan penyu, jam 11.30 pagi ini.

Bagi acara terakhir hari ini, Sultan Ibrahim kemudian dijadualkan melawat ke Pulau Rawa bagi menyempurnakan Pengisytiharan Penguatkuasaan Undang-undang Pelesenan Rancangan Kawasan Khas (RKK) pada jam 12 tengah hari.

Penganjuran KMJ yang dimulakan dengan jelajah bermotosikal pada 2001 hingga 2006; 2008 dan 2010 hingga 2014 yang diikuti Jelajah Pulau pada 2004, 2007 serta 2015; Jelajah ke Perkampungan Orang Asli pada 2005; Jelajah Pedalaman 2009; Kembara Berkereta Api 2010 dan menggunakan tiga jenis kenderaan iaitu bermotosikal, pacuan empat roda dan bot pada 2011.

Berita Harian X