Ahad, 21 Ogos 2016 | 10:25am

Bekas anggota SEAL tulis buku Osama perlu bayar AS$6.6j


Matt Bissonnette bersama buku tulisannya bertajuk No Easy Day. - www.inusanews.com

WASHINGTON: Seorang bekas anggota tentera laut SEAL perlu membayar lebih AS$6.6 juta (RM26.5 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat selepas menulis buku mengenai pembabitannya dalam serangan ke atas Osama bin Laden yang melanggar perjanjian kerahsiaan dan penerbitan tanpa kebenaran Jabatan Pertahanan, menurut dokumen mahkamah persekutuan.

Matt Bissonnette yang menulis buku bertajuk No Easy Day menggunakan nama pena Mark Owen akan menyerahkan semua hasil keuntungan dan royalti daripada buku dan hak-hak filem kepada kerajaan AS.

Hasil yang sudah mencecah AS$6.6 juta (RM26.5 juta) itu perlu dilangsaikan dalam tempoh empat tahun.

Menurut penyelesaian yang digariskan Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Virginia, Bissonnette juga mempunyai 30 hari untuk menjelaskan denda AS$100,000 (RM400,000) kerana membuat pembentangan menggunakan slaid yang tidak diluluskan oleh jabatan.

Buku ini mencetuskan siasatan Jabatan Kehakiman, termasuk dakwaan bahawa ia mengandungi bahan rahsia.

Bissonnette sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan sepanjang perkhidmatan beliau sebagai SEAL, dan mengambil bahagian dalam beberapa operasi yang sangat rahsia termasuk serbuan ke atas bin Laden.

Mengikut perjanjian itu, Bissonnette berkata beliau mengakui membuat kesilapan kerana gagal mengemukakan buku berkenaan untuk semakan sebelum penerbitan.

Sebagai pertukaran untuk pembayaran, kerajaan AS membatalkan tuntutan liabiliti lain.

Jurucakap Jabatan Keadilan, Nicole Navas berkata perjanjian itu tidak mencalar rekod perkhidmatan tentera Bissonnette, sebaliknya menegaskan bahawa setiap anggota perkhidmatan perlu mematuhi dokumen kerahsiaan yang sudah ditandatangani.

Bissonnette turut menulis sebuah buku susulan, juga menggunakan nama Owen berjudul No Hero: the Evolution of Navy SEAL yang melalui saluran yang betul selepas disunting. - Agensi

Berita Harian X