Ahad, 21 Ogos 2016 | 7:28pm

Elyana biasakan bertudung setiap Jumaat


PENYANYI Elyana

KUALA LUMPUR: Penyanyi Elyana mengakui mula membiasakan diri memakai tudung setiap Jumaat sejak tiga tahun lalu.

Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, 29, berkata beliau membiasakan diri mengenakan tudung pada hari mulia berkenaan dalam usaha melangkah ke depan sebagai wanita Muslim yang lebih baik.

"Memang setiap hari Jumaat saya akan memakai tudung. Tambah pula saya mempunyai kelas mengaji pada hari berkenaan.

"Bukanlah hendak berlatih, tetapi Insya-Allah ia adalah langkah pertama ke arah kebaikan. Alhamdulillah, saya selesa setiap kali berbuat demikian. Lagipun, adik-beradik saya semuanya sudah bertudung," katanya yang dihubungi BH Online.

Elyana berkata demikian selepas ditanya mengenai beberapa gambar beliau yang memaparkan dirinya bertudung di Instagram.

Sehingga kini, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Niat pada 2001 itu memiliki sejumlah 141,000 pengikut di laman sosial bergambar berkenaan.

Berdasarkan komen ditinggalkan peminat, ramai yang memuji kecantikannya dengan imej terbabit. Malah, tidak kurang yang mendoakan penyanyi lagu Tapak Sulaiman ini agar diberi hidayah untuk terus bertudung.

Dalam perkembangan lain, Elyana baru-baru ini meraih gelaran juara bersama pasangan duet beliau, Intan Sarafina, menerusi rancangan Super Karoks terbitan stesen radio Kool FM.

Elyana dan Intan selaku tunjang Hey Ladies menewaskan empat kumpulan lain iaitu AM (Ayai/Maya); Lazat (Rahmad/Ezad Lazim) dan Gorgeous Mom (Amelina/Raja Ema). Sebagai juara, dua penyanyi itu menerima RM15,000.

24 dibaca
Berita Harian X