Isnin, 22 Ogos 2016 | 2:22pm

2 anggota bomba cedera lori tangki terbalik


SEBUAH lori tangki Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak terbalik di Jalan Lahat-Pasir Putih, berhampiran Masjid Pengkalan Pegoh, Ipoh, pagi tadi.

IPOH: Sebuah lori tangki Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak terbalik di Jalan Lahat-Pasir Putih, berhampiran Masjid Pengkalan Pegoh, di sini, pagi tadi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9.20 itu, pemandu dan seorang lagi anggota pasukan itu cedera termasuk seorang daripada mereka tersepit di dalam kenderaan.

Katanya, ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari Jalan Simpang Pulai menghala Jalan Pasir Putih untuk latihan perjalanan.

"Setiba di satu selekoh tajam, pemandu lori tangki itu dikatakan hilang kawalan sebelum jentera berkenaan terbabas dan terbalik ke bahu kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa cedera dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.

Sementara itu, jurucakap bomba turut mengesahkan jentera jenis 'Prime Mover' dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih itu terbabas sebelum terbalik sehingga mengakibatkan seorang daripada anggota bomba tersepit.

Berita Harian X