Isnin, 22 Ogos 2016 | 9:58pm

Tangki klorin kilang sarung tangan bocor

LORI tangki yang dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Jabatan Bomba dan Penyelamat di Kuala Selangor, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

MANJUNG: Sebuah tangki penyimpanan mengandungi kira-kira 900 kilogram (kg) klorin di kilang memproses sarung tangan di Jalan Beruas, Kampung Batu 19, Ayer Tawar, di sini, mengalami kebocoran, petang tadi.

Kejadian pada jam 6.15 petang itu disedari seorang pekerja kilang yang terhidu bau kurang menyenangkan dari lokasi sebelum menghubungi pihak bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Hasrin Hasbi, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar menerima panggilan lima minit kemudian dan bergegas ke tempat kejadian.

"Bomba mendapati berlaku kebocoran klorin di kawasan berkenaan dan ia boleh dihidu dari jarak 50 meter. Bomba bertindak mengosongkan bangunan.

"Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh yang tiba kemudian mencari punca kebocoran pada tangki bagi melakukan tugas penampalan dan meneutralkan klorin di kawasan berkenaan," katanya, sebentar tadi.

Beliau berkata, kejadian tidak membabitkan mangsa dan operasi masih diteruskan.

Berita Harian X