Isnin, 22 Ogos 2016 | 10:16pm

52 pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng keracunan

IPOH : Seramai 52 pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Gopeng, dekat sini, mengalami keracunan selepas makan sajian berasaskan ayam di kafeteria kolej berkenaan, kelmarin.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Katanya, semua mangsa mengalami gejala keracunan makanan, termasuk cirit-birit, pening, sakit perut dan muntah.

"Siasatan awal terhadap pelajar lelaki terbabit mendapati mereka makan masakan berasaskan ayam di kafeteria kolej pada Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi, di sini  hari ini.

Susulan kejadian itu, Dr Juita berkata, kafeteria berkenaan diarahkan tutup serta-merta bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pemilik kafe didenda sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan (34) Akta Kebersihan Makanan," katanya.

Difahamkan, semua pelajar terbabit adalah pengambilan baharu pada Jun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X