Isnin, 22 Ogos 2016 | 11:22pm

Tindakan tegas terhadap ibu bapa cuai


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menandatangani plak sempena perasmian Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Pulau Pinang. - foto BERNAMA

GEORGETOWN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa dan penjaga yang didapati cuai dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata pindaan Akta Kanak-Kanak 2016 yang berkuatkuasa pada 25 Julai lalu adalah satu inisiatif dalam usaha membanteras kecuaian ibu bapa.

Beliau berkata, pindaan itu disifatkan bukan tujuan untuk menghukum tetapi memberi penekanan yang lebih serius berikutan peningkatan kes jenayah membabitkan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

"Kita akan mengambil tindakan dengan lebih tegas terhadap ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang mengabaikan keselamatan mereka sehingga memberi ancaman.

"Jenayah membabitkan kanak-kanak semakin serius di negara kita dan kementerian tidak akan hanya berpeluk tubuh," katanya selepas melawat dan merasmikan Anjung Singgah Pulau Pinang di Lebuh Chulia, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa kejadian penculikan dan buang anak yang berlaku di Kuala Lumpur, Ipoh, dan Kota Kinabalu pada minggu lalu.

Berita Harian X