Selasa, 23 Ogos 2016 | 7:10pm

Erra tertawa ditanya Shahir semakin berisi

KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira tertawa kala diajukan pertanyaan mengenai lelaki yang dikatakan sebagai buah hatinya, Shahir Zawawi, kini semakin berisi.

Beliau berkata, dirinya sendiri sudah lama tidak bertentang mata dengan Shahir, sebaliknya hanya berhubung melalui aplikasi sembang dan panggilan telefon.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya kira-kira setahun setengah yang lalu.

"Mana tahu dia makin 'debab' (sambil tertawa)? Saya memang sukakan lelaki berisi," katanya dalam nada bergurau kepada BH.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi keluarannya, Forget Me Not dan Loveable, hasil kerjasama dengan HOT Perfume serta Lenore.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42, ketika ini dikatakan intim dengan penyanyi berusia 28 tahun itu yang juga bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan.

Erra bagaimanapun tidak menjawab persoalan yang diajukan mengenai hala tuju hubungan mereka, sebaliknya lebih selesa mengaku berkawan dengan pemuda berkenaan.

"Saya tidak pernah menjawab atau mengiyakan sebarang pertanyaan. Yang keluar daripada mulut saya dan dia adalah kami berkawan," katanya.

Pelakon filem Sembilu itu juga meminta supaya kisah mengenai mereka tidak terlalu dihebahkan.

"Doakan yang terbaik untuk kami," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X