Rabu, 24 Ogos 2016 | 12:32pm

SMK Tanjung Chat adakan kayuhan merdeka

KOTA BHARU: Seramai 59 pelajar Tingkatan Satu dan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Chat di sini mengadakan kayuhan basikal sejauh lapan kilometer sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Kayuhan itu bermula dari perkarangan SMK Tanjung Chat sehingga Pantai Cahaya Bulan (PCB) sebelum pelajar memulakan program gotong-royong membersih pantai.

Pengetua SMK Tanjung Chat, Mat Zain Mahmood, berkata pengisian sambutan kemerdekaan tahun ini berbeza daripada sebelumnya apabila lebih banyak program dianjurkan yang bermula daripada 17 Ogos lalu hingga 8 September ini.

Katanya, antara pengisian yang diadakan ialah kayuhan merdeka oleh pelajar, pameran patriotik membabitkan beberapa agensi Kerajaan Persekutuan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Menerusi sambutan kemerdekaan ini sekurang-kurangnya generasi muda dapat menghargai kehidupan mereka sekali gus menanamkan semangat patriotik," katanya kepada BH di sini, sebentar tadi.

Mat Zain berkata, sekolah itu juga menganjurkan kuiz kemerdekaan dan pertandingan bertemakan kemerdekaan.

"Kami turut menganjurkan pertandingan mencipta pantun dan nyanyian lagu patriotik serta deklamasi sajak," katanya.

Mat Zain berkata, majlis perasmian Bulan Kebangsaan itu yang diadakan pada 17 Ogos lalu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Biro Tata Negara Cawangan Kelantan, Mohammad Fauzi Shafie.

"Sambutan Ambang Kemerdekaan sekolah ini akan diadakan pada 31 Ogos ini dengan acara utama doa untuk Malaysia menerusi pengisian solat hajat dan bacaan Yasin kira-kira 1,000 orang termasuk warga pendidik, pelajar dan ibu bapa," katanya.

Berita Harian X