Rabu, 24 Ogos 2016 | 3:40pm

IHP Julai Malaysia meningkat 1.1 peratus pada 115.1

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2016 meningkat 1.1 peratus kepada 115.1 berbanding 113.9 yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Antara kumpulan utama yang merekodkan peningkatan ialah indeks minuman alkohol dan tembakau yang meningkat 19.9 peratus mulai Julai 2015, makanan dan minuman bukan alkohol (+3.8 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus), kata Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini.

Kumpulan lain yang mencatat peningkatan ialah pelbagai barangan dan perkhidmatan (+2.4 peratus), pendidikan (+2.2 peratus) dan restoran dan hotel (+2.1 peratus).

Bagaimanapun kumpulan pengangkutan susut 9.9 peratus berbanding Julai 2015 diikuti komunikasi (-2.3 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.6 peratus).

Berasaskan perbandingan bulanan, IHP Julai 2016 meningkat 0.3 peratus kepada 115.1 berbanding 114.8 pada Mei.

IHP Januari hingga Julai 2016 mencatat peningkatan 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, diketuai oleh peningkatan dalam kumpulan utama dengan peratusan perbelanjaan tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.7 peratus).

Peningkatan lain dicatatkan oleh minuman alkohol dan tembakau (+21.6 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (+3.6 peratus), restoran dan hotel (+3.3 peratus), kesihatan (+3.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+3.0 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X