Rabu, 24 Ogos 2016 | 4:10pm

6 lelaki didakwa merusuh, bunuh


SERAMAI 25 orang kena tuduh (OKT) termasuk enam daripadanya dituduh bergaduh dan membunuh dikawal rapi anggota keselamatan untuk dibawa ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh ketika menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh, Mohamad Nazar Kasin, 32; B Shandry, 32; S Yunusraj, 26; D Vikram, 24; K Ganeswaren, 33 dan K Madharan, 23, hanya mengangguk tanda faham di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh adalah ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan mengakibatkan kematian R Dhevar, 19.

Kesalahan itu dilakukan di depan pos pengawal Maplewood, Bukit Jelutong, antara jam 2.22 pagi hingga 2.30 pagi, 7 Ogos 2016.

Berikutan itu kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 302 KK.

Di Mahkamah Majistret 2, Mohamad Nazar, Shandru, Yunusraj, Vikram, dan Madhavan turut tidak membuat pengakuan di hadapan Majistret Siti Shakirah Ibrahim selepas didakwa mengikut Seksyen 148 KK kerana merusuh dan memiliki parang, kayu, pengunci, serta helmet untuk menyerang, dalam satu kejadian pada 7 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Nazar, Shandru, Yunusraj, Vikram, dan Madhavan didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama 11 lelaki lain di persimpangan Kampung Muhibbah-Kampung Melayu Subang, kira-kira pukul 1.40 pagi.

Raja Noor Adilla dan Siti Shakirah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X