Jumaat, 26 Ogos 2016 | 3:25pm

Bernhardt kekal 23 pemain lama ke Hanoi


KETUA jurulatih skuad Bawah 19, Frank Bernhardt. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 19 (B-19), Frank Bernhardt mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejuaraan AFF B-19 2016 di Hanoi, Vietnam dari 11 hingga 24 September ini.

Bernhardt mengekalkan semua 23 pemain yang telah dipanggil untuk menjalani kem latihan pusat dari 1 hingga 4 Ogos lalu dan diminta melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 6 September ini sebelum berlepas ke Hanoi pada 9 September.

Menurut kenyataan akhbar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Bernhardt berkata daripada senarai 23 pemain itu, lapan daripadanya adalah pemain skuad B-22 yang akan memainkan peranan penting pada kejuaraan kali ini.

"Jadi, bagi saya walaupun kem latihan pusat hanya selama tiga hari, ia tidak menjadi masalah kerana pasukan turut akan mempunyai masa untuk membuat persiapan di Hanoi.

"Setelah meneliti pasukan yang bakal bertanding, kami meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan separuh akhir," katanya

Sementara itu, sembilan pemain iaitu Tan Yung Hong, S Thipanraj, Badrul Amin Rusalan, Mohammad Fitri Amani Ismail, Nik Mohd Amin Ahmad, Mohd Aiman Shakir Mohd Hashim, Muhammad Izzat Mohd Ramlee, Muhamad Shyamierul Razmee Jasmi dan Al Barilan Shahul Hameed diletakkan dalam senarai bersedia jika ada dalam kalangan 23 pemain itu mengalami kecederaan.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara Kejuaraan AFF B-19 2015, Vietnam serta Timor-Leste, Singapura dan Filipina.

Mereka akan memulakan kempen berdepan Filipina pada 13 September diikuti pertemuan dengan Singapura (15 September), Timor-Leste (17 September) dan Vietnam (19 September).

Pada edisi Kejuaraan AFF B-19 yang berlangsung di Laos tahun lalu, skuad kebangsaan kendalian Hassan Sazali meraih tempat keempat setelah tewas dengan penentuan penalti 2-3 kepada pasukan tuan rumah selepas terikat 1-1. - BERNAMA

INFO

Senarai 23 Pelatih:

R Dinesh (Pahang), M Kogileswaran Raj (Pahang), Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Shah Amirul Mohd Zamri (Pahang), Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhamad Rizalul Azuwan Supandri (Selangor), Damien Lim Chein Khai (Selangor), Dominic Tan Jun Jun (JDT), Muhamad Hafiy Haikal Ismail (JDT II), Mohamad Hariz Kmarudin (JDT II), Muhammad Hazrul Hafiz Zulkifly (Pulau Pinang), Mohamed Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (Pulau Pinang), Muhammad Safawi Rasid (T-Team), Mohd Zarulizwan Mazlan (T-Team), C Suwarnaraj (Perak), Muhammad Amir Safuan MOhamad Zubir (Perak), Mohamad Haziq Nadzli (PDRM), Mohamad Ramadhan Jalil (Kuala Lumpur), Muhammad Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Muhammad Al Mustaqim Mohd Rizuan (Melaka), Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

Berita Harian X