Sabtu, 27 Ogos 2016 | 1:08pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

70 pelajar asrama keracunan makanan

IPOH: Seramai 70 pelajar asrama Sekolah Menengah Cina Persendirian Poi Lam di Lahat, di sini, keracunan makanan selepas dipercayai makan kari telur di kantin asrama sekolah itu, petang semalam.

Semua pelajar membabitkan 49 lelaki dan 21 perempuan berusia antara 13 hingga 18 tahun menikmati hidangan berkenaan kira-kira jam jam 6 petang sebelum mengalami cirit-birit, muntah, loya dan pening selepas itu.

Mereka menerima rawatan di lima klinik swasta termasuk seorang pelajar berusia 14 tahun yang dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta, di sini.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan di dapur asrama berkenaan dan mengambil beberapa sampel telur, papan pemotong, periuk yang digunakan untuk merebus telur, tempat penghidang makanan dan pisau pemotong telur.

"Ketika ini, kita mengesyaki simptom berlaku disebabkan bakteria Salmonella dan Jabatan Kesihatan negeri sudah mengarahkan premis dapur asrama itu ditutup mulai jam 7 malam tadi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988.

"Kompaun RM1,000 dikenakan kepada pengusaha kantin asrama itu mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan (11)  Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X