Ahad, 28 Ogos 2016 | 12:04am
Elyana.
PENYANYI, Elyana - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Elyana ada hati sertai Gegar Vaganza


Populariti yang diraih Siti Nordiana selepas menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim kedua memberi inspirasi kepada Elyana untuk mencipta kejayaan yang sama.

Pernah bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu FMC Music, Elyana mengakui pencapaian Siti Nordiana atau Nana membakar semangatnya untuk kembali mengejar kembali cita-cita yang sebelum ini terpaksa dilupakan kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga.

Namun pemilik nama lengkap, Erneelya Elyana Emrizal, 29, ini akur kemampuan diri. Meskipun menerima pelawaan untuk menyertai program realiti popular itu sejak tahun lalu, Elyana belum bersedia memberikan fokus kepada program yang menuntut kekuatan mental dan fizikal itu.

"Sejak tahun lalu, saya dijemput produksi program itu untuk mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat. Mungkin belum rezeki kerana pelawaan itu datang ketika saya sedang sibuk. Secara peribadi, saya teringin untuk bersaing dan menguji sejauh mana kemampuan saya melangkah dalam pertandingan itu.

"Melihat impak program itu yang membantu menaikkan semula nama penyanyi yang sudah lama menyepikan diri, saya terpanggil untuk mencuba. Cuma mungkin bukan dalam masa terdekat kerana banyak persediaan perlu dilakukan, terutama persiapan mental.

"Saya bukan penyanyi yang dilahirkan menerusi pertandingan, malah selepas lama tidak aktif, banyak perkara baharu yang perlu saya kuasai. Tambahan pula saya seorang yang pemalu sehinggakan dulu, setiap kali naik pentas untuk persembahan, saya mengelak daripada mengenakan kanta sesentuh kerana tidak sanggup bertentang mata dengan penonton.

"Lagipun, tahun ini bukan masa yang sesuai untuk menyertainya kerana fokus saya kini adalah menyempurnakan dulu album terbaharu. Syarikat rakaman juga sudah mula menyusun pelbagai agenda promosi, jadi saya perlu menghormati kesungguhan mereka," katanya.

Elyana menyifatkan kelahiran album terbaharunya itu sebagai penghargaan kepada peminat setianya yang sudah lama merindui kehadiran semulanya dalam industri. Sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu, karier seni Elyana seakan-akan suram apabila memberikan fokus penuh kepada keluarga.


PENYANYI, Elyana bersama suaminya, Khairul Anuar Husin dan anak mereka, Cinta Sumayah pada majlis sambutan hari jadi anak mereka, di Puncak Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya tidak pernah berhenti menyanyi, malah sesekali masih memenuhi undangan. Begitu juga dengan lakonan, tawaran masih diterima. Cuma saya tiada album baharu untuk membawa saya lebih dekat kepada peminat. Kebelakangan ini, saya lihat ramai artis lama kembali muncul mewarnai industri hiburan.

"Kebangkitan semula mereka memberi saya semangat untuk kembali mencuba. Saya percaya masih mempunyai peminat, malah sokongan mereka memberikan saya semangat untuk kembali. Sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah-bahagi itu, saya pertaruhkan album lengkap.

"Saya berterima kasih kepada FMC Music yang mempercayai kekuatan nama saya apabila sanggup menjana modal untuk menghasilkan album ini. Ia sesuatu yang istimewa kerana saya kembali bekerjasama dengan penerbit yang menaikkan nama saya dulu iaitu Aidit Alfian," katanya.

Album memuatkan 10 lagu itu dijangka menjengah pasaran pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Elyana sebelum ini, meraih semula perhatian peminat apabila menjuarai program Super Karoks menerusi Kool FM bergandingan dengan penyanyi seangkatan, Intan Sarafina membentuk Hey Ladies.

11 dibaca
Berita Harian X