Ahad, 28 Ogos 2016 | 3:42pm

Kerajaan disyor kaji semula kaedah perangi dadah

NAIB Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye merasmikan Program Komuniti Sihat dan Komuniti Sejahtera 2016 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu Kelantan, Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah nik Omar

KOTA BHARU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang, kaedah penguatkuasaan serta pencegahan penyalahgunaan dadah.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kaedah sedia ada kurang berkesan jika dilihat pada statistik kes penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Tahun lalu, seramai 1,590 penagih seawal usia 13 sehingga 39 tahun dikenal pasti penagih dadah di Kelantan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya selepas merasmikan Program Komuniti Sihat dan Komuniti Sejahtera 2016 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu Kelantan, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan memerlukan wawasan dan cara baharu terutama dalam aspek pencegahan, pemulihan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama antarabangsa dalam membanteras masalah berkaitan dadah.

"Sebagai contoh, sebelum mendarat di negara ini melalui jalan udara, amaran berkaitan jenayah dadah yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori sudah diberikan, namun masih ada sanggup menggadai nyawa menjadi keldai dadah.

"Kita juga menghadapi masalah apabila di negara ini turut mempunyai makmal dadah dengan kepakaran ahli kimia didatangkan khas dari Iran," katanya.

Beliau berkata, pencerobohan di sempadan negara juga antara penyebab utama peningkatan penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Jika dilihat sempadan di negara ini, berlaku kelonggaran dari segi penguatkuasaan menyebabkan dadah dari negara jiran mudah diseludup masuk ke negeri ini," katanya.

Selain itu, Lam Thye berkata, pembabitan masyarakat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta AADK dalam membanteras jenayah dadah turut kurang memuaskan.

"Ada ibu bapa tahu anak mereka terbabit jenayah dadah namun enggan bekerjasama dengan pihak yang boleh membantu menyebabkan kerajaan menghadapi cabaran dalam memerangi jenayah dadah," katanya.

Berita Harian X