Isnin, 29 Ogos 2016 | 3:56pm

Dua lelaki didakwa rotan, bunuh warga tua


TAN Kim Poh (dua dari kiri) dan Ong Wai Cheong (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan termasuk mencederakan serta membunuh seorang pemilik syarikat agen pengedar kereta Julai lalu di Mahkamah Majistret Kluang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KLUANG: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan termasuk merotan dan membunuh seorang pemilik syarikat ejen pengedar kereta, akhir Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tan Kim Poh, 33, dan Ong Wei Cheong, 34, dilihat hanya memandang ke lantai sebaik jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan kepada mereka.

Bagaimanapun, kedua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa menggunakan rotan, manakala tiada pengakuan direkodkan atas tuduhan membunuh.

Bagi pertuduhan pertama, kedua tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas dan lima yang sudah dituduh didakwa mencederakan Koh Peng Huat, 65, dengan merotan warga tua berkenaan di dalam kebun kelapa sawit, Jalan Kahang Timur, Kampung Gajah, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, 31 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dua tertuduh terbabit didakwa membunuh warga tua berkenaan di lokasi sama pada tarikh yang sama antara jam 5.30 petang hingga 7 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natalie Chew.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 14 September depan.

28 dibaca
Berita Harian X