Selasa, 30 Ogos 2016 | 1:52pm

Kluang bakal hadapi masalah bekalan air berterusan

KETUA Pegawai Eksekutif Syarikat Air Johor (SAJ) Abdul Wahab Abdul Hamid, berucap pada sidang media di Bilik Mesyuarat Syarikat Air Johor (SAJ) Larkin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Selepas Mersing, daerah Kluang pula dijangka berdepan masalah gangguan bekalan air berlanjutan membabitkan kira-kira 280,000 pengguna, sekiranya sumber air dari Sungai Sembrong Kiri terus mencatatkan penyusutan.

Ketua Pegawai Eksekutif SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ), Abdul Wahab Abdul Hamid, berkata taburan hujan tidak menentu dan cuaca panas ketika ini antara faktor menyebabkan sungai yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sembrong Timur terjejas.

Katanya, SAJ sudah mendapat kebenaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan bekalan air berjadual di daerah Kluang selama sebulan bermula 15 Ogos lalu.

"Di Kluang, bergantung kepada LRA Sembrong Barat dan LRA Sembrong Timur. Masalah sekarang adalah di Sembrong Timur, di mana paras air di Sungai Sembrong Kiri yang agak rendah.

"Kita terpaksa melaksanakan bekalan air berjadual di Kluang untuk memastikan sumber air di kawasan itu terkawal. Jika keadaan bertambah teruk, bekalan air secara berjadual terpaksa diteruskan," katanya kepada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bekalan air berjadual di Kluang dilaksanakan sejak 15 Ogos lalu apabila paras air sungai menurun sehingga paras 0.2 meter berbanding paras amaran 0.7 meter.

Katanya, persediaan jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan air itu sudah diambil kerajaan menerusi pembinaan Empangan Kahang yang dijangka pertengahan tahun depan, selain tambahan loji air di daerah itu.

Mengenai usaha mengatasi masalah bekalan air di Mersing yang kini menjejaskan 11,000 akaun pengguna, beliau berkata, kerajaan melantik syarikat perunding bagi menjalankan kajian daya maju serta lokasi potensi bagi pembinaan empangan baharu.

Berita Harian X