Selasa, 30 Ogos 2016 | 11:49pm

Rosyam seru artis sertai program World #QuranHour

ARTIS terkenal, Datuk Rosyam Nor atau nama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin. - Foto Mahzir Mat Isa

SHAH ALAM: Artis terkenal, Datuk Rosyam Nor menyeru seluruh masyarakat Islam di negara ini, termasuk golongan artis untuk menyertai program World #QuranHour pada 11 September ini. 

Beliau berkata, pembabitannya dalam program sedemikian bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya lahir daripada keinsafan dalam hati untuk berubah ke arah kebaikan. 

"Tarikh 11 September bersamaan dengan 9 Zulhijjah iaitu tarikh seluruh umat Islam wukuf di Padang Arafah. Saya berharap pembabitan ini dapat menjadi pencetus kepada kesatuan umat Islam di negara ini tanpa mengira perbezaan bangsa, darjat dan fahaman politik. 

"Bukan mudah untuk mengajak orang menyertai program ini. Saya akan atur kempen antaranya berjalan kaki dalam jarak beberapa kilometer (KM). Mungkin dari Kuala Lumpur hingga ke daerah tertentu dan perkara ini akan dibincangkan nanti," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sinergi Media Malaysia World #QuranHour di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. 

Rosyam berkata, beliau malu kepada diri sendiri kerana dapat menghafal skrip filem, namun tidak dapat menghafal ayat al-Quran, termasuk surah pendek. 

Program World #QuranHour adalah kesinambungan inisiatif sejak tahun 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh negara yang menawarkan pengajian al-Quran percuma, manakala program #MalaysiaNgaji diadakan pada 24 Ramadan lalu. 

Setakat ini, sebanyak 117 negara dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi maklum balas positif menyertai program terbabit, termasuk 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Berita Harian X