Rabu, 31 Ogos 2016 | 11:28am

Raja Perlis sertai rakyat meriahkan sambutan merdeka


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memberi tabik hormat di Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 59 Peringkat Negeri Perlis yang diadakan di Dataran Merdeka Kangar. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bersama lebih 3,000 rakyat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri, pagi tadi.

Baginda yang ditemani Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, tiba di Dataran Merdeka, di sini jam 8.45 pagi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada sambutan berkenaan.

Acara sambutan bermula dengan bacaan doa dan persembahan koir oleh 190 kakitangan kerajaan, agensi, jabatan dan badan berkanun negeri ini.

Perarakan kontinjen bermula jam 9.30 pagi dimulai dengan pembawa bendera oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perarakan membabitkan lebih 50 kanak-kanak dari Tadika Perpaduan paling mencuit hati orang ramai apabila masing-masing memperagakan pelbagai pakaian termasuk pakaian beruniform seperti tentera, polis dan bomba.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bersama barisan EXCO kerajaan negeri turut hadir pada sambutan berkenaan.

Berita Harian X