Rabu, 31 Ogos 2016 | 5:17pm

29 bayi merdeka dilahirkan di Sabah

Pengurus Besar Negeri PTPTN, Muliati Kamaruddin (berdiri, lima dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan pada Program Bayi Merdeka 2016 sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK), Likas. - Foto NSTP/Maai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seramai 29 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, hari ini. 

Enam belas daripadanya adalah bayi perempuan manakala 13 lagi bayi lelaki, disambut bermula jam 12 tengah malam tadi sehingga 2 petang hari ini.

Seorang daripada ibu bayi bertuah, Wong Hui Ching, 31, berkata dia tidak menyangka bakal melahirkan anak keduanya itu bersamaan dengan tarikh kemerdekaan negara kerana dijangka bersalin pada 5 September ini. 

"Bagaimanapun, semalam saya mula mengalami pendarahan dan terus pergi hospital bagi pemeriksaan lanjut. 

"Apabila tiba di hospital dan menjalani pemeriksaan, doktor sahkan bukaan pangkal rahim saya lima sentimeter sebelum dimasukkan ke bilik bersalin," katanya. 

Seorang lagi ibu bayi merdeka, Mastura Abdul Khalid, 28, berkata dia dan suami begitu teruja dengan kelahiran bayi lelaki seberat 2.6 kilogram (kg) pada 12.21 tengah malam tadi.

Berita Harian X