Khamis, 1 September 2016 | 12:08pm

UMP anjur golf amal untuk bantu pelajar kurang mampu

PORTAL Kejohanan Golf UMP di http://www.ump.edu.my/ms/acara/kejohanan-golf-amal-mygift-universiti-malaysia-pahang-2016
PORTAL Kejohanan Golf UMP di http://www.ump.edu.my/ms/acara/kejohanan-golf-amal-mygift-universiti-mal...

KUANTAN: Kelab Golf Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menganjurkan Kejohanan Golf Amal UMP pada 3 dan 17 September depan bagi mengumpul dana biasiswa kepada pelajar miskin dan golongan memerlukan.

Kejohanan itu akan diadakan di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, Selangor pada 3 September dan Mahkota Golf & Country Club di sini, 17 September depan.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kejohanan itu adalah inisiatif pihaknya menerusi MyGift UMP bagi menjana biasiswa kepada pelajar miskin yang mendapat keputusan cemerlang untuk meneruskan pengajian di universiti itu.

Katanya, program itu diperkenalkan sebagai kemudahan kepada masyarakat, warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri atau syarikat untuk menyokong budaya menderma bagi menjalankan pelbagai program universiti terutamanya meningkatkan kualiti pendidikan.

"UMP menjemput semua pemain golf tempatan dan antarabangsa, alumni, pemimpin sektor awam dan korporat serta orang ramai untuk menyokong kejohanan amal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan Golf Amal UMP, Dr Ayib Rosdi Zainun, berkata setiap penyertaan dikenakan yuran RM3,000 seorang peserta dan satu flight pula RM10,000 membabitkan penggunaan padang, kereta buggy dan insuran selain cenderahati serta makanan.

"Kejohanan itu akan disertai badan korporat yang akan menyumbang ke tabung Mygift melalui kutipan yuran dan sumbangan individu atau syarikat.

"Selain mempromosikan UMP, kejohanan itu juga untuk menggalakkan budaya menyumbang sambil bersukan dan menjalinkan hubungan yang baik," katanya.

Antara hadiah disediakan adalah sebuah kereta jenis PROTON (bagi hole in one), 15 hadiah utama iaitu barangan elektrik dan 25 hadiah sampingan barangan golf.

Bagi individu atau syarikat berminat menyertai kejohanan itu, boleh menghubungi Ayib di talian 0199894421 dan Abu Sufian Mokhtar (013-9453521) dan Rahiwan Nazar Romli (019-3319565) untuk maklumat lanjut.

Keterangan lanjut juga boleh didapati menerusi lawan web rasmi kejohanan, http://golfamal2016.ump.edu.my/ dan sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun 556235304236 (Maybank) atau cek dibayar kepada Bendahari UMP.

Berita Harian X