Khamis, 1 September 2016 | 11:42pm
BOMBA menjalankan kerja menyelamatkan mangsa kemalangan di Kilometer 23 Jalan Bahau-Keratong, malam ini. - Pix Ihsan bomba

3 maut, 3 parah kemalangan 2 kereta


BOMBA menjalankan kerja menyelamatkan mangsa kemalangan di Kilometer 23 Jalan Bahau-Keratong, malam ini. - Pix Ihsan bomba

BANDAR SERI JEMPOL: Tiga maut manakala tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 23 Jalan Bahau-Keratong, di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian jam 7.50 malam itu menyebabkan pemandu Proton Perdana, R Julie, 34, dan penumpang R Saniasammah, 58, serta pemandu Proton Waja, Sha'ri Md Akim, 53, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, tiga yang cedera parah adalah, dua penumpang Proton Perdana, P Rajaispasri, 47, dan K Srinikha, 6, manakala seorang lagi adalah anak Sha'ri, Siti Nur Azreera, 18.

"Nahas dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Sha'ri dari arah Bahau ke Muadzam Shah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan.

"Mangsa kemudian terlanggar kereta dipandu Julie menyebabkan dua kenderaan itu terbabas ke bahu jalan," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang maut dan cedera parah dikejarkan ke Hospital Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 malam dan bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan 14 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Jempol.

Berita Harian X