Jumaat, 2 September 2016 | 2:28pm

Taufan Hermine badai Florida, puluhan ribu penduduk bergelap


LUMUT laut meliputi jalan akibat angin kencang dan hujan lebat yang dibawa Taufan Hermine mengakibatkan banjir di Cedar Key, Florida. - Foto AP

TAMPA: Angin kencang dan hujan lebat yang dibawa Taufan Hermine membadai Pantai Teluk di Florida awal Jumaat, ketika gangguan bekalan elektrik menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa bergelap dalam apa yang disifatkan gabenor ribut pembawa maut.

Keadaan semakin teruk apabila Taufan Hermine tiba, bertiup dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam menyebabkan beberapa kawasan di Florida menerima hujan sebanyak 12 sentimeter dan media melaporkan 270,000 penduduk terjejas akibat bekalan elektrik terputus.

"Keadaan teruk, paras air tinggi di pelbagai tempat. Saya berada di sini ketika Taufan Elena pada 1985 dan ia tidak seteruk ini," kata ketua polis Cedar Key, Virgil Sandlin, kepada Weather Channel.

Taufan Hermine membawa ribut bahaya yang dijangka menyebabkan banjir sedalam tiga meter di beberapa kawasan, apabila air yang meningkat mengalir ke pedalaman dari pantai, menurut amaran Pusat Taufan Kebangsaan.

Hermine, yang dijangka menjadi taufan pertama tiba di Florida sejak Wilma pada 2005, juga memberi ancaman kepada negeri sepanjang utara Pantai Atlantik yang mempunyai puluhan juta penduduk.

"Taufan Hermine mengumpul kekuatan dengan cepat dan akan memberi kesan kepada majoriti negeri kita," kata Gabenor Rick Scott dalam buletin lewat malam.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran puting beliung bagi komuniti seluruh utara Florida ketika Pusat Taufan Kebangsaan meluaskan pemerhatian ribut tropika ke Sandy Hook, New Jersey.

Hermine menjadi taufan keempat dalam musim ribut Atlantik 2016. - REUTERS

Berita Harian X