Sabtu, 22 November 2014 | 12:53pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto BERNAMA

UMNO perlu kuasai kesalinghubungan digital - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menguasai aspek 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam landskap baharu politik Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, aspek itu adalah cabaran besar kepada kepimpinan setiap peringkat parti kerana penguasaan teknologi baharu seperti media sosial akan memberikan anjakan paradigma minda kepada parti dan menarik lebih ramai penyertaan golongan muda.

"Bila disebut hyperconnectivity, bermakna segala-galanya berpandukan kepada digital iaitu internet yang menyebabkan kita saling berhubung, termasuklah dalam mengendalikan kerajaan dan berpolitik.

"Inilah yang menjadi cabaran UMNO dan cabaran dunia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 250 mahasiswa dari dalam dan luar negara itu diadakan sempena Persidangan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini.

Ahmad Shabery berkata, 'hyperconnectivity' telah mengubah cara komunikasi antara parti-parti politik dengan masyarakat, justeru adalah penting untuk UMNO berhubung melalui media sosial.

"Kalau dahulu, kita kena dapatkan dewan, sediakan makan minum dan mesyuarat untuk bertemu rakyat, kini, dengan menghantar satu mesej melalui Twitter atau posting di Facebook, akan menarik dan dikongsi beribu-ribu pandangan.

"Hyperconnectivity menjadikan lebih orang 'menjerit' mendapat perhatian. Mereka (dalam laman sosial) 'menjerit' untuk meraih perhatian. Perkara kecil menjadi besar, dan perkara besar menjadi semakin besar," kata beliau.

Ahmad Shabery berkata, seni pidato perlu turut dikekalkan meskipun teknologi aplikasi Whatsapp digunakan sepanjang persidangan UMNO kali ini.

Mengenai persidangan mahasiswa itu, beliau berkata ia adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan muda untuk bertukar pandangan dan melahirkan pelbagai idea bernas bagi menerajui transformasi negara.

- BERNAMA

Berita Harian X