Ahad, 4 September 2016 | 12:44pm

Bahasa Melayu dipinggirkan bangsa sendiri

AHLI Panel, Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Abdul Rashid Mohd Saad (dua dari kiri) bersama Pensyarah Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Dr Thock Ker Pong (kanan) dan Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Sarjit Singh (dua dari kanan) bercakap pada Forum Nasib Bahasa Dalam Agenda Negara Bangsa di Rumah Pena. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
AHLI Panel, Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Abdul Rashid Mohd Saad (dua dari kiri) bersama Pensyarah Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Dr Thock Ker Pong (kanan) dan Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Sarjit Singh (dua dari kanan) bercakap pada Forum Nasib Bahasa Dalam Agenda Negara Bangsa di Rumah Pena. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Masalah terbesar bahasa Melayu di negara ini adalah peminggirannya oleh orang Melayu sendiri sehingga kedudukannya di tanah airnya semakin tenat dan tercabar.

Apatah lagi pengenalan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 ialah pukulan terbesar kepada kedaulatan bahasa Melayu yang menyaksikan orang Melayu di kawasan bandar lebih mengutamakan bahasa Inggeris, manakala orang bukan Melayu langsung meminggirkan bahasa kebangsaan itu.

Kenyataan pedih tetapi benar itu dilontarkan oleh tiga panel Forum Nasib Bangsa dan Agenda Negara Bangsa, iaitu Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sarjit Singh; Pensyarah Jabatan Pengajian Tionghua, Universiti Malaya (UM), Dr Thock Ker Pong dan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM, Dr Mohd Rashid Mohd Saad.

Sarjit berkata, contoh cabaran yang perlu dihadapi oleh bahasa Melayu apabila di universiti awam yang 20 Naib Canselornya adalah orang Melayu tetapi penulisan dalam bahasa Melayu seolah-olah tidak ada maknanya.

"Ini kerana jurnal akademik lebih mengutamakan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa ASEAN.

"Masalah kita ialah masalah kepimpinan. Pemimpin tidak ada keazaman untuk memperjuangkan bahasa kebangsaan.

"Di Parlimen misalnya, bahasa Melayu yang digunakan (oleh ahli Parlimen) bukanlah bahasa Melayu tinggi," katanya di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Sarjit berkata, apabila bahasa Melayu dilabelkan sebagai kelas dua, ia memerlukan kekuatan oleh pihak berwajib misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menanganinya.

"Bagaimanapun, kita tahu banyak yang sudah DBP lakukan tetapi sasarannya tidak kesampaian," katanya.

Sementara itu, Ker Pong berkata, kepimpinan di negara pada hari ini dipegang oleh orang Melayu tetapi kedudukan bahasa Melayu sangat mencabar mutakhir ini.

"PPSMI menyaksikan anak muda sekarang kurang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu berbanding sekitar dekad 1980-an. Pengenalan PPSMI mengubah senario itu," katanya.

Forum Nasib Bangsa dan Agenda Negara Bangsa itu diadakan bersempena Mesyuarat Agung PENA Ke-53.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X