Ahad, 4 September 2016 | 1:51pm

Priyanka tolak dakwaan bakal menetap di Los Angeles

PRIYANKA Chopra.

MUMBAI: Pelakon Priyanka Chopra menafikan dakwaan beliau bakal berpindah ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), bagi memberikan fokus terhadap kerjaya seninya di Hollywood.

Menurut laporan Bollywood Life, Priyanka berkata, beliau tidak mungkin berpindah ke negara lain kerana Mumbai, India ialah rumahnya.

"Mumbai adalah rumahku. Saya tidak akan berpindah ke negara lain," kata bintang jelita berusia 34 tahun itu.

Baru-baru ini, Priyanka dikatakan bakal menetap di Los Angeles, California, bagi tempoh lima tahun memandangkan ada beberapa projek baharu di Hollywood yang sedang 'menunggunya' selepas selesai penggambaran drama bersiri Quantico.

Malah, kerap berulang-alik antara AS dan Kanada membuatkan aktres itu dikatakan mahu mendapatkan sebuah apartmen di Los Angeles.

Priyanka juga baru saja mengumumkan projek terbaharu beliau di Hollywood dan Bollywood pada Disember akan datang.

Dalam perkembangan lain, Priyanka mahu lebih fokus terhadap tawaran filem berbanding drama bersiri yang memerlukan komitmen sangat tinggi.

Pelakon wanita yang semakin mendapat tempat di Hollywood ini juga akan menjadi penyampai pada Anugerah Emmy, yang akan berlangsung pada 19 September ini (waktu Malaysia).

Berita Harian X