Ahad, 4 September 2016 | 4:26pm

16 pelajar SMK Dato Syed Ahmad keracunan makanan


HOSPITAL Kuala Nerang.

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 16 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, dekat sini, dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang (HKN) petang semalam selepas masing-masing disyaki keracunan makanan.

Rata-rata pelajar berusia antara 13 dan 15 tahun yang menetap di asrama sekolah itu dikatakan mengalami simptom keracunan makanan seperti muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, mengesahkan kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada nasi lemak berlauk ikan bilis dan telur yang dikatakan dibeli pelajar di luar sekolah.

"Jumlah pelajar yang terbabit adalah 16 orang membabitkan enam pelajar lelaki dan 10 perempuan, dengan kes pertama mengalami gejala keracunan dikesan pada jam 6.30 petang semalam.

"Hasilnya, 13 daripada 16 pelajar terbabit dirawat sebagai pesakit luar di Jabatan Kecemasan HKN, manakala tiga lagi hanya mengalami gejala ringan. Mereka adalah antara 259 pelajar yang menetap di asrama sekolah terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dr Norhizan berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap sudah mengambil sampel lebihan nasi lemak dan sambal dari rumah penjual yang dikenal pasti, yang turut dikesan tidak mematuhi peraturan ditetapkan bagi pengendali makanan.

"Penjual terbabit sudah diberi amaran dan tidak dibenarkan menjual makanan sehingga peraturan pengendali makanan ditetapkan dipatuhi," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X