Ahad, 4 September 2016 | 10:28pm

Rasuah: Dua sahabat dipenjara 5 tahun, denda RM35,000


DUA sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 kerana didapati bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lalu. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 kerana didapati bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lalu.

Hakim Azhar Mokhtar menjatuhi hukuman itu terhadap Ezli Efifuddin Chik, 30, yang bertugas di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Langkawi dan kakitangan sebuah agensi pelancongan, Mohd Amzar Hashimi, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi tiga pertuduhan pindaan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi pada 9 malam, 23 Jun 2013.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif, pada 9.10 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, mereka didakwa menerima wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharif di Lot 91, 92 dan 93, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah pada 2.40 petang pada 2 Julai 2013.

Bagi semua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiiz Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rasmadi Abdul Rashid dan Shariff Mat.

Terdahulu, Rasmadi yang mewakili Ezli meminta agar hukuman minimum diberikan kepada anak guamnya yang masih belum berkahwin dan perlu menanggung ibu dan bapanya.

Shariff yang mewakili Mohd Amzar turut merayu agar hukuman minimum diberikan terhadap anak guamnya yang perlu menanggung tiga anak berusia tiga tahun, dua tahun dan tiga bulan serta isterinya yang juga seorang mualaf warga Thailand.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar mahkamah dapat memberikan hukuman yang setimpal dan mencerminkan pendirian yang tegas terhadap kesalahan rasuah.

Hakim Azhar kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan dijalankan secara serentak serta denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Rasmadi kemudian memohon kedua-dua tertuduh diberikan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi dan wang jaminan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000. - BERNAMA

33 dibaca
Berita Harian X