Sabtu, 22 November 2014 | 4:55pm

KDN mahu pelajari kejayaan polis China tangani judi dalam talian

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas melawat Karnival 60 Tahun Lembaga Penapis Filem Malaysia di pusat beli belah Alamanda di sini hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berminat untuk mempelajari kejayaan polis China dalam menangani jenayah judi dalam talian, rasuah dan pelacuran serta aspek kepolisan moden di negara itu, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi tujuan itu, katanya, KDN akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam China, hasil perbincangan beliau dengan Menterinya, Guo Shengkun, ketika melakukan lawatan ke China baru-baru ini.

"Sebagai tindakan susulan, KDN dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan menghantar pegawai ke China untuk mempelajari secara terperinci kejayaan polis di sana," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran ulang tahun ke-60 Lembaga Penapis Filem (LPF) di Alamanda di sini, hari ini.

Mengulas kejayaan Kementerian Keselamatan Awam dan polis China membanteras judi dalam talian, Ahmad Zahid berkata mereka dapat menyekat kegiatan itu dengan baik meskipun server judi dalam talian tidak berada di China.

"Server tidak ada di Malaysia dan tidak ada di China tapi berada di beberapa negara lain yang sukar untuk disekat, namun ini telah dapat dilakukan dengan baik oleh China," katanya, sambil menambah KDN akan mempelajari kaedah yang digunakan China.

Berhubung kerjasama menangani rasuah, Ahmad Zahid berkata rasuah yang dahulunya berlaku secara berleluasa dan terserlah dalam kalangan pegawai penguat kuasa termasuk polis di China namun kini berjaya diatasi.

"Kejayaan ini juga sedang diteliti untuk memperkuat jabatan integriti PDRM bagi membanteras rasuah dan kukuhkan integriti," katanya.

Ditanya tentang isu penerbitan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu tanpa disertakan ayat suci al-Quran, Ahmad Zahid berkata adalah lebih afdal dengan adanya ayat-ayat suci al-Quran dan bukannya terjemahan semata-mata.

"Ini kerana (menerbitkan terjemahan al-Quran sahaja) akan menghilangkan mukjizat apabila ayat asal itu ditiadakan. Saya hormati apa yang berlaku di beberapa negara yang lain.

"Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bincangkan isu ini secara terperinci supaya tidak akan mengelirukan ummah. Sebarang penerbitan termasuklah terjemahan al-Quran sepenuhnya tertakluk kepada kelulusan KDN," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, dilaporkan berkata terjemahan al-Quran tanpa disertakan dengan ayat suci al-Quran diharamkan walaupun ia bagi tujuan berdakwah kepada golongan bukan Islam.

Isu penerbitan terjemahan al-Quran tanpa disertakan ayat suci al-Quran dibincangkan secara meluas ekoran permintaan seorang pensyarah wanita yang berhasrat menterjemahkan al-Quran kepada bahasa lain tanpa disertakan ayat suci yang asal untuk tujuan pemahaman rakannya yang bukan Islam.

- BERNAMA

Berita Harian X