Isnin, 5 September 2016 | 12:10am
KERJAYA Daler bermula sebagai model, kini berkembang menjadi pelakon. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DALER Yusof ketika menghadiri sidang media di KL Tower. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Daler usaha fasih bahasa Melayu demi lakonan


BERMULA sebagai model sejak usianya 19 tahun, pemuda berdarah Melayu-Uzbekistan ini kini mula dikenali ramai menerusi kemunculan dalam drama dan filem.

Begitupun, Daler Yusuf, 24, berasakan dirinya perlu mempertingkatkan lagi penguasaan bahasa Melayu bagi mengukuhkan kedudukan dalam arena berkenaan.

Mula menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu apabila mengikuti kursus perniagaan di sebuah kolej di Subang, akuinya pada 2014 dirinya mula menajamkan penguasaan dalam bahasa kebangsaan.

Tidak mengikuti mana-mana kelas bahasa, sebaliknya Daler cuba mempelajarinya menerusi pembacaan dan pertuturan bersama rakan.

Beliau sedar, peluangnya untuk mengembangkan bakat dalam lakonan agak cerah sekiranya penguasaan bahasa Melayunya lebih baik lagi.


SEDAR kekurangan diri, Daler berusaha untuk fasih berbahasa Melayu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Hakikatnya, selepas dua tahun cuba mempelajari bahasa terbabit, ada peningkatan dalam penguasaan bahasa Malaysia pemuda ini berbanding pada awal pembabitannya di bidang seni.

Ketika itu, beliau bagai terkial-kial untuk berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan.

"Jika diikutkan, sejak kecil lagi saya sudah bermimpi dan berangan untuk menjadi pelakon. Ia bidang yang membolehkan kita memegang pelbagai watak.

"Hendak menjadi juruterbang, ahli perniagaan, orang kaya mahupun miskin, semuanya berkemungkinan. Insya-Allah, saya akan cuba memanfaatkan peluang yang dihulurkan ini sebaik mungkin.

"Cuma saya perlu memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayu. Saya tidak mahu menjadikan kelemahan berbahasa Melayu sebagai alasan cuma diberikan watak darah campuran atau orang luar negara. Kalau boleh, saya nak bawa watak lelaki Melayu.


DALER Yusof berjanji untuk terus membaiki mutu lakonan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Jadi saya kena lancarkan bahasa Melayu. Saya rasa, soal wajah juga bukanlah penghalang. Lihat saja pelakon berdarah kacukan lain seperti Juliana Evans dan Siti Saleha. Mereka diterima baik kerana fasih berbahasa Melayu," katanya yang masih meminati dunia peragaan biarpun sudah bergelar pelakon.

Mengakui kekok pada awal pembabitannya dalam lakonan, Daler menganggap perkara itu berlaku kerana ia sesuatu yang amat baharu baginya.

Daler juga mengikuti kursus lakonan jangka pendek bersama dramatis, Fatimah Abu Bakar, bagi memperbaiki kekurangan yang ada.

"Memang susah sebenarnya berlakon depan kamera kerana saya tiada pengalaman. Berlakon iklan agak berbeza kerana ia tidak mempunyai dialog. Jadi, kali pertama berlakon memang membuatkan saya sangat gementar. Begitupun, kursus lakonan bersama Cikgu Fatimah sedikit sebanyak mengurangkan perasaan berkenaan, selain ia memperbaiki lakonan saya," ujarnya.

Mula menguji bakat lakonan menerus watak kecil dalam filem Indonesia, Kastil Tua, Daler kemudian diberikan peluang muncul dalam drama Sebenarnya Omputih Itu Isteri Aku, awal tahun lalu.


DALER Yusuf ketika mengunjungi bazar di Bangsar. - Foto Osman Adnan

Seterusnya Daler membintangi siri Tuan Anas Mikael terbitan Pena Creative Pictures. Sepanjang pembabitan dalam drama terbabit, seorang daripada pelakonnya, Wan Sharmila, antara mereka yang tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepadanya.

Artis naungan Alfie Management ini juga diberi peranan utama dalam drama 30 episod Lip Lap Raya bergandingan dengan Sari Yanti.

Biarpun berdepan kekangan, pemuda ini tidak putus-putus menerima undangan dan keadaan itu tentu saja membuatkannya bersyukur dengan rezeki pemberian Tuhan.

"Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Setiap bulan, ada saja undangan berlakon iklan dan menjayakan kempen produk yang diterima. Begitu juga dengan tawaran lakonan.

"Saya juga akan terbabit dengan penggambaran filem Santorini, di samping Niena Baharun. Sepatutnya, penggambaran dimulakan sejak Julai lalu, tetapi ia ditunda hingga ke Oktober depan. Filem ini dijadualkan menjalani penggambaran di Santorini, Greece dan United Kingdom," kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Daler atau nama sebenarnya Daler Yusuf Muhammad juga pernah membintangi iklan Samsung, Blackberry, Maxis, Baskin Robbins, Burger King dan pelbagai lagi.

44 dibaca
Berita Harian X