Selasa, 6 September 2016 | 9:02am

Taufan Newton hampiri kawasan Baja California

TAUFAN Newton melanda pantai barat Pasifik di Mexico menghampiri Baja California. Foto AFP

CABO SAN LUCAS: Taufan Newton melanda pantai barat Pasifik di Mexico dengan hujan lebat pada Isnin.

Taufan itu menyasarkan pusat peranginan Baja California di Los Cabos, yang menyaksikan penduduk melindungi tingkap kediaman dengan memasang papan lapis ketika bersedia berhadapan dibadai secara langsung dua tahun selepas mengalami ribut besar.

Kekuatan angin Newton meningkat kepada 140 kilometer sejam menjelang awal petang, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat di Miami.

Ribut Kategori Satu itu berpusat kira-kira 260 kilometer ke tenggara Cabo San Lucas dan San Jose del Cabo dan bergerak ke barat laut pada kelajuan 26 kilometer sejam di laluan diramalkan yang membawa ia berhampiran atau melalui kawasan pada pagi Selasa.

Pegawai membuka 18 pusat perlindungan di sekolah di dua pusat peranginan dan 38 lagi di beberapa bahagian lain di negeri Southern Baja California, sambil memberi amaran kepada penduduk supaya jangan melakukan pembelian panik.

"Tidak perlu membeli secara besar-besaran. Makanan dan bahan api mencukupi sehingga 20 hari lagi," kata Datuk Bandar Los Cabos, Arturo de la Rosa Escalante.

Polis Los Cabos ditempatkan di pusat beli belah untuk mengawal kes kecurian yang berlaku ketika Taufan Odile melanda kawasan itu pada 2014 ketika masih pada tahap ribut Kategori Tiga, dengan angin 125 kilometer sejam.

Pelancong asing masih kelihatan berjalan kaki di jalan raya Cabo San Lucas walaupun pekerja mula menutup perniagaan dan pemilik bot nelayan kecil mengeluarkan kapal masing-masing dari laut. - AP

Berita Harian X