Selasa, 6 September 2016 | 12:23pm

Penunggang motosikal maut langgar kerbau

CHUKAI: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangi terbalik selepas dipercayai melanggar seekor kerbau di Kilometer 177.2, Jalan Jerangau-Jabor, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 5.30 pagi itu, mangsa Zamari Hamzah, 51, yang bekerja di Ladang Rakyat di Cheneh sedang menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Perasing Jaya, Jabor, ke tempat kerjanya di Ladang Rakyat Cheneh.

Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tidak sempat mengelak seekor kerbau yang melintas jalan, lalu melanggarnya.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian. Dia kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Berita Harian X