Rabu, 7 September 2016 | 12:06am
TEMBIKAR lama yang disimpan rapi. - Foto Nazri Abu Bakar
NORDIN sudah menghabiskan kira-kira RM150,000 sama ada untuk mendapatkan barang atau menyelenggara koleksi antiknya. - Foto Nazri Abu Bakar
KEADAAN rumah Nordin di Kampung Padang Temu sesak dengan pelbagai barang antik dan lama yang kini berjumlah 2,500 jenis semuanya. - Foto Nazri Abu Bakar
SENJATA lama turut disimpan Nordin di kediamannya yang digelar Rumahku Muziumku. - Foto Nazri Abu Bakar
USAHA Nordin yang juga pesara pembantu tadbir di Kementerian Pendidikan berjaya menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Jerman, Hong Kong, Jepun, England, Russia, Singapura, Indonesia, Thailand , Amerika Syarikat dan Perancis. - Foto Nazri Abu Bakar
KOLEKSI barangan perakam video dan kamera antik dijaga dengan baik dalam bekas kaca. - Foto Nazri Abu Bakar
KOLEKSI pemain piring hitam yang masih berfungsi milikNordin. - Foto Nazri Abu Bakar

"Rumahku Muziumku" Nordin simpan koleksi 2,500 barang antik

MELAKA: Mengumpul barang antik yang dihasilkan sejak kurun ke-19 mungkin jarang dilakukan kebanyakan orang.

Bagaimanapun, Nordin Ali, 78, yang mula mengumpulkan barang antik sejak berusia 15 tahun masih menyimpan barang berkenaan antaranya tanglung Cina yang berusia sejak tahun 1860, peti ais yang dibuat pada tahun 1940, meriam Belanda yang didakwa berusia 1,500 tahun dan pelita pekerja rumah api Belanja yang berusia 400 tahun.

Usaha pesara pembantu tadbir di Kementerian Pendidikan itu juga menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara, termasuk Jerman, Hong Kong, Jepun, England, Russia, Singapura, Indonesia, Thailand , Amerika Syarikat dan Perancis.


NORDIN Ali yang mula mengumpulkan barang antik sejak berusia 15 tahun. - Foto Nazri Abu Bakar

Malah, rumah Nordin di Kampung Padang Temu di sini sesak dengan pelbagai barang antik dan lama yang kini berjumlah 2,500 jenis.

Lebih menarik, semua barangan itu masih boleh digunakan, termasuk peti nyanyi dan set radio dianggarkan berusia lebih 120 tahun dan lampu isyarat kereta api arang batu berusia lebih 110 tahun.

Sehingga ini, Nordin sudah menghabiskan kira-kira RM150,000 sama ada untuk mendapatkan barang atau mengenggara koleksinya.

Siapa saja yang mengunjungi rumah Nordin pastinya terpegun melihat kediamannya sebagai galeri menyimpan khazanah tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, seterika lama, syiling cap ayam, koleksi wang kertas lama, katil antik Melaka, pakaian Baba dan Nyonya, tembikar, barangan kulit, peralatan sawah dan bajak turut dipamerkan secara terbuka.


KEBANYAKAN barangan antik milik Nordin masih boleh digunakan dan berfungsi dengan baik walaupun di mamah usia. - Foto Nazri Abu Bakar

Nordin berkata, bermula sebagai hobi ketika berusia 15 tahun dia yang mewarisi minat arwah bapanya, Sidang Ali Talib berjaya mengumpul artifak bersejarah tinggalan Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, Indonesia dan China, termasuk keris, pedang, gramofon, lampu kerosin, belati dan barangan kemas.

Katanya, tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai yang mahu menyaksikan koleksinya itu, dia amat teruja mengumpul barangan terbabit untuk diperkenalkan kepada generasi muda dan pelancong asing.

"Kewujudan barangan lama menggambarkan kesusahan orang terdahulu untuk meneruskan kehidupan tidak seperti zaman sekarang yang serba mudah, moden dan selesa.

"Bagi memastikan koleksi barangan berkenaan sentiasa bertambah, saya sanggup membeli daripada sesiapa yang mempunyai barangan antik," katanya yang turut mempunyai koleksi pakaian beserta topi askar dan polis dan mangga kunci buatan tahun 1800.

Nordin berkata, antara barangan antik paling disayangi set katil Baba dan Nyonya yang ditempatkan di sebuah bilik khas di rumahnya.

Ini kerana, sebelum ini, katil itu pernah dilelong di Hong Kong dengan nilai satu juta dolar Hong Kong.


KATIL Baba Nyonya antara koleksi barangan antik yang disayangi Nordin pernah dibida satu juta dolar Hong Kong -Foto Nazri Abu Bakar

"Saya memperolehnya selepas melakukan pertukaran barang dengan pemilik katil terbabit dan pada ketika itu juga saya menyerahkan sebuah katil tembaga sebagai pertukaran.

"Sebuah peti nyanyi lama yang tidak menggunakan bateri, sebaliknya perlu menggunakan tenaga tangan untuk memastikannya berfungsi juga menjadi kegemaran saya, termasuk sekeping rekod lagu Allahyarham R Azmi yang dibeli pada harga RM400," katanya.

Nordin juga berasa bertuah kerana minatnya itu turut mendapat sokongan daripada isteri, Maznah Ali, 55, tambahan pula mereka hanya tinggal berdua di rumah berkenaan.

"Saya anggarkan nilai keseluruhan barangan antik di rumah ini melebihi RM3 juta dan ia juga tidak dijual kepada mana-mana pihak.

"Selagi saya masih hidup, semua barang antik ini tidak akan dijual melainkan atas persetujuan saya dan jika meninggal dunia, saya mahu waris menjaganya dengan baik," katanya.

Mereka yang melawat rumahnya itu tidak dikenakan bayaran tetapi boleh menyumbang seikhlas hati.

Berita Harian X